Rabu, 7 March 2018 | 5:25pm

Sime Darby Property umum perlantikan baharu

PETALING JAYA: Sime Darby Property Bhd (Sime Darby Property) mengumumkan dua pelantikan pengurusan kanan baharu sejajar dengan objektif strategik syarikat mengukuhkan lagi barisan kepimpinannya.

Syarikat hartanah itu melantik Gerard Yuen Yun Wei sebagai Ketua Pegawai Pemasaran dan Jualan (CMSO) berkuat kuasa 1 Mac lalu, manakala Aravindan Devapalan Nair dilantik sebagai Ketua Pegawai Jaminan, berkuat kuasa Isnin lalu.

Pelantikan Yun Wei membabitkan tanggungjawab dalam mengawasi perancangan, pembangunan dan pelaksanaan inisiatif pemasaran serta jualan syarikat.

Beliau mempunyai pengalaman luas dalam bidang hartanah dengan sebelum ini pernah menjawat jawatan sebagai Ketua Pegawai Jualan di Mah Sing Group Bhd dan Ketua Jualan dan Pemasaran bagi Bahagian Hartanah Kumpulan Sunway.

CMSO baharu syarikat akan melapor terus kepada Pengarah Urusan Kumpulan Sime Darby Property.

Sementara itu, Aravindan akan memberi tumpuan kepada memperkukuhkan fungsi audit dalaman dan fungsi jaminan syarikat selaras dengan dasar dan prosedur syarikat.

 

Beliau akan melapor terus kepada Jawatankuasa Tadbir Urus dan Audit serta Pengarah Urusan Kumpulan Sime Darby Property.

Aravindan sebelum ini adalah Ketua Juruaudit Dalaman Wah Seong Corporation Bhd.

Beliau adalah Akauntan Bertauliah dengan lebih 14 tahun pengalaman dari dua firma perakaunan terkemuka dan juga ahli Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) dan ahli Institut Akauntan Malaysia (MIA).

 

Mengulas mengenai perlantikan itu, Pengarah Urusan Kumpulan Sime Darby Property, Amrin Awaluddin berkata, kepakaran dan pengetahuan mereka dalam sektor terbabit membantu memantapkan lagi pengurusan kanan sekaligus memacu pertumbuhan masa depan syarikat.

 

Berita Harian X