Rabu, 28 Februari 2018 | 6:42pm

Pendapatan diraih DRB-HICOM naik 13 peratus

SHAH ALAM: DRB-HICOM Bhd (DRB-HICOM) mencatatkan peningkatan pendapatan 13 peratus bagi tempoh sembilan bulan berakhir 31 Disember 2017 berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya, didorong peningkatan hasil jualan dari sektor perkhidmatan dan juga sektor hartanah.

Dalam satu kenyataan, DRB-HICOM berkata dalam tempoh sembilan bulan itu, pendapatan kumpulan berjumlah RM9.73 bilion, berbanding RM8.58 bilion dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Pada masa yang sama, keuntungan sebelum cukai (PBT) untuk tempoh itu meningkat kepada RM557.8 juta.

Pendapatan dalam sektor automotif mencerminkan iklim industri yang agak lembab, dengan jualan bulan Disember yang lazimnya tinggi turun hampir 16 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Jualan industri bagi bulan Disember 2017 susut 10,104 unit berbanding bulan yang sama tahun 2016.

Bagi tahun kewangan 2017, Jumlah Keseluruhan Industri (TIV) susut sebanyak 3,500 unit apabila dibandingkan dengan tahun 2016.

Kelulusan pinjaman yang lebih rendah serta kadar faedah yang lebih tinggi juga terus memberi kesan kepada jualan, kata konglomerat itu.

Menurutnya, prestasi suku ketiga PROTON turut terjejas, dengan caj sekali saja bagi kos pembangunan produk tertentu serta unjuran tuntutan berkait diiktiraf pada suku berakhir 31 Disember 2017.

"Dengan kemasukan Zhejiang Geely Holding Group (Geely) sebagai pemegang saham PROTON Holdings Berhad (PROTON), pengeluar kereta nasional itu berhasrat untuk menggunakan pelbagai jenis teknologi dan enjin Geely pada model PROTON yang ada sekarang, manakala model lain di bawah rangkaian Geely juga dipertimbangkan untuk kegunaan tempatan," katanya.

Selain itu, sektor perkhidmatan DRB-HICOM menyaksikan peningkatan pendapatan sebanyak 35 peratus dalam tempoh sembilan bulan hingga Disember lalu, dengan merekodkan RM3.28 bilion.

"Sekali lagi, faktor utama dalam peningkatan prestasi yang lebih baik ini adalah sumbangan segmen kurier dan logistik Pos Malaysia," katanya.

Dalam tempoh dikaji, sektor hartanah kumpulan turut menyumbang pendapatan RM638.8 juta, dengan projek yang berkaitan sektor pembinaan meningkatkan prestasi.

Mengulas mengenai unjuran masa depan, DRB-HICOM berkata dengan keadaan ekonomi yang bertambah baik, ia akan terus mengukuhkan perniagaan terasnya dan menceburi pelbagai peluang untuk memperluaskan kepentingan perniagaannya, dengan fokus utama kepada pertumbuhan dalam logistik, e-dagang, aeroangkasa dan perbankan.

"Walau bagaimanapun, bagi industri automotif, persaingan yang sengit, kelulusan sewa beli yang ketat, kadar-kadar faedah yang lebih tinggi, antara lainnya kekal sebagai cabaran.

"Usaha pengurangan kos yang berterusan dan langkah pengurusan kewangan di semua Sektor didalam Kumpulan akan memberikan kestabilan untuk prospek jangka panjang DRB-HICOM," katanya.

Berita Harian X