Selasa, 27 Februari 2018 | 1:33pm

UEM Sunrise lantik urus hartanah Australia

KUALA LUMPUR: UEM Sunrise (Australia) Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh UEM Sunrise Bhd, melantik Focused Facilities Management Pty Ltd (FFM) untuk mengendalikan perkhidmatan pengurusan hartanah projek perdananya, Aurora Melbourne Central dan Conservatory, di Melbourne, Australia.

Ketua Pegawai Operasi Komersial UEM Sunrise, Raymond Cheah, berkata syarikat itu menetapkan kriteria yang ketat, fokus dan sangat terperinci dalam proses pemilihannya.

"Kami memutuskan untuk memilih syarikat yang tepat berasaskan penilaian kualitatif dalam kualiti projek, pengalaman, pengetahuan dan kedudukan kewangan yang kukuh, bagi melaksanakan perkhidmatan itu.

"Saya yakin FFM mampu membangunkan perkongsian jangka panjang yang saling menguntungkan kedua-dua pihak," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata FFM menawarkan perkhidmatan pengurusan hartanah menyeluruh kepada beberapa projek pembangunan kediaman dan komersial premium di Melbourne sejak lebih 17 tahun, dan memahami sepenuhnya standard tinggi yang bukan sahaja perlu dipenuhi, malah melebihi jangkaan.

Portfolio FFM yang sedia ada, antara lain meliputi bangunan utama Melbourne seperti 35 Spring Street, The Fawkner, HM @ S, dan The Melburnian.

-BERNAMA

Berita Harian X