Khamis, 22 Februari 2018 | 7:27pm

Axiata rancang henti jadi pemegang saham Idea

KUALA LUMPUR: Axiata Group Bhd (Axiata) akan menghentikan pembabitannya di dalam syarikat sekutu India, Idea Cellular, demikian menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Tan Sri Jamaludin Ibrahim.

Jamaludin berkata, keputusan itu bukan disebabkan oleh Idea terkesan daripada persaingan amat agresif dalam sektor telekomunikasi di India, namun disebabkan oleh penggabungannya bersama Vodafone India.

"Penggabungan antara Idea dan Vodafone India bukan hanya menghasilkan syarikat telekomunikasi terbesar India, malah juga antara syarikat telekomunikasi terbesar dunia dan secara dasarnya, kami gembira dengan penggabungan kerana semua sinergi terbentuk.

"Namun, sebaik saja ia direalisasikan, pegangan saham kami akan mengecil kepada kurang 10 peratus. Ini akan menghentikan kami daripada menjadi rakan strategik Idea, namun hanya sebuah pelabur mudah. Saya perlu menekankan pada masa ini Axiata bukanlah syarikat pelaburan kewangan," katanya semasa mengumumkan prestasi kewangan kumpulan di sini, hari ini.

Semasa ditanya jumlah yang akan diraih Axiata daripada penjualan kepentingan Idea pasca penggabungannya bersama Vodafone India, Jamaludin berkata ia dianggarkan melebihi RM1 bilion.

"Tiada maklumat buat masa ini kerana ia juga bergantung kepada bila kami sebenarnya akan menjual kepentingan berkenaan selain keadaan pasaran pada masa itu.

"Namun, kami menganggarkannya melebihi RM1 bilion," katanya.

Axiata mula membeli 19.7 peratus kepentingan di dalam Idea pada 2009. Pegangan sahamnya di dalam syarikat India itu kemudiannya berkurangan kepada 18.1 peratus kerana ia tidak terbabit dalam terbitan saham keutamaan Idea.

Semasa ditanya mengenai kemungkinan penggabungan antara Axiata dan Telekom Malaysia Bhd (TM), Jamaludin berkata: "Sebab mengapa Axiata dan TM berpisah satu ketika dulu masih lagi kekal sekarang. Kami boleh bekerjasama antara satu sama lain, tanpa perlu bergabung sekali lagi."

Axiata mencatatkan keuntungan bersih RM1.2 bilion bagi tahun kewangan 2017, meningkat 76.9 peratus berbanding RM657 juta tahun lalu.

Ia dicatatkan meskipun Idea mencatatkan kerugian RM450 juta, berbanding keuntungan RM65 juta pada tahun kewangan 2016.

Kumpulan juga menyaksikan pendapatannya meningkat 13.2 peratus kepada RM24.4 bilion semasa tempoh dikaji, berbanding RM21.6 bilion tahun lalu.

Berikutan prestasi kukuh itu, Lembaga Pengarah mengisytiharkan dividen 8.5 sen sesaham biasa.

Berita Harian X