Rabu, 7 Februari 2018 | 1:02pm
Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah Datuk Seri Yahya Hussin (dua dari kiri) menunjukkan ikan segar yang dijual dengan harga berpatutan selepas melancarkan Program Jimat Belanja Dapur anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di Pasar Tani Asia City hari ini. Program Jimat Belanja Dapur adalah langkah kerajaan menangani kos sara hidup yang semakin meningkat selain mendidik rakyat berbelanja secara berhemah. - Foto BERNAMA

RM137.218j nilai terkumpul usahawan FAMA di Sabah

KOTA KINABALU: Nilai jualan terkumpul usahawan bimbingan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di Sabah adalah sebanyak RM137.218 juta pada tahun lalu, kata Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah, Datuk Seri Yahya Hussin.

Beliau berkata, nilai jualan itu dihasilkan menerusi beberapa program FAMA termasuk Pasar Tani, Ladang Kontrak, Industri Asas Tani (IAT), Agrobazzar Kedai Rakyat (AKR), Gerai Buah-buahan Segar (GBBS) dan menerusi program Motosikal Tiga Roda (M3R).

"Program yang mencatatkan nilai julan tertinggi ialah Ladang Kontrak iaitu sebanyak RM42.193 juta diikuti Pasar Tani (RM24.787 juta), AKR (RM23.861 juta) dan IAT yang mencatatkan nilai jualan sebanyak RM16.4 juta," katanya dalam kenyataan yang diedarkan pada pelancaran Jimat Belanja Dapur di Pasar Tani FAMA Asia City di sini, hari ini.

Beliau berkata, FAMA melaksanakan program Jimat Belanja Dapur bagi membantu kerajaan menangani kenaikan harga makanan di pasaran dengan menawarkan penjimatan harga antara 5 hingga 20 peratus untuk komoditi terpilih mengikut keperluan setempat di Pasar Tani di seluruh negara.

Penurunan harga itu meliputi semua hasil pertanian dan produk makanan seperti sayur, buah, barangan runcit, ayam segar, ikan, dan barangan kawalan (minyak masak dan tepung).

"Saya berharap program ini dapat membantu orang ramai khususnya pengunjung Pasar Tani mendapatkan keperluan bekalan seharian dengan harga jualan lebih rendah dari harga pasaran, sekali gus mendorong peruncit lain untuk mengurangkan harga jualan," katanya.

Yahya berkata, setakat ini, terdapat sebanyak 45 Pasar Tani di seluruh Sabah dengan 1,300 orang peserta.

"Untuk tahun ini, kita menyasarkan untuk membuka tiga lagi Pasar Tani di Pekan Lokkawi, Tenom dan Putatan," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X