Selasa, 6 Februari 2018 | 10:40pm

F&N raih pendapatan RM1.068 bilion

KUALA LUMPUR: Fraser & Neave Holdings Bhd (F&N) mencatatkan penurunan pendapatan pada suku pertama berakhir 31 Disember 2017 disebabkan banjir di negeri utara, timur dan selatan Semenanjung Malaysia dan Sabah.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, katanya perolehan susut dua peratus tahun ke tahun kepada RM1.068 bilion berbanding RM1.091 bilion pada suku pertama 2016, manakala keuntungan sebelum cukai merosot 20.1 peratus kepada RM115.13 juta berbanding RM144 juta.

F&N berkata perolehan makanan dan minuman (F&B) Malaysia berkurangan 7.2 peratus kepada RM600.4 juta berbanding suku tahun sama.

Penguncupan pasaran dalam kategori produk minuman di Malaysia, selain penambahbaikan sistem dan proses yang berterusan, dan selepas selesai program transformasinya turut memberi kesan kepada perolehan.

Penurunan itu sebahagiannya diimbangi oleh pertumbuhan dua angka dalam eksport F&B Malaysia, yang membantu mengurangkan turun naik bermusim dalam jualan, kata F&N.

Sementara itu, perolehan F&B Thailand F&N meningkat sebanyak 5.5 peratus kepada RM468.2 juta, didorong oleh pertumbuhan dua angka dari segi eksport ke rantau Indochina dan perluasan liputan pengedaran baharunya.

"Inovasi yang berterusan dalam produk baharu dan format pembungkusan serta peningkatan rangkaian dan pusat pengedaran, disokong oleh kempen perdagangan pengguna dan penjenamaan yang berkesan membantu meningkatkan impak keadaan pasaran domestik yang mencabar dalam ekonomi yang lembap," katanya.

Mengenai prospek, F&N berkata persekitaran perniagaan di Malaysia dijangka kekal mencabar dengan penguncupan pasaran dalam kategori minuman dan tekanan harga yang kompetitif pada musim perayaan akan datang.

"Penjimatan kos operasi daripada inisiatif transformasi dan kecekapan melalui penambahbaikan proses dijangka menyumbang secara positif kepada operasi di Malaysia pada suku tahun akan datang," katanya.

F&N berkata prospek perniagaan di Thailand adalah positif, bagaimanapun pengurusan terus berhati-hati mengenai keadaan sentimen pengguna.

"Perniagaan kami di Malaysia dan Thailand dijangka meraih manfaat sebagai pengimport bersih daripada pengukuhan ringgit dan baht. Bagaimanapun, ini mungkin memberi cabaran kepada perniagaan eksport kami," katanya.

Ia memberi penekanan bahawa kedua-dua perniagaan akan terus membangunkan penawaran dan inovasi produk baharu, dengan menumpukan kepada memenuhi agenda kesihatan pengguna dan permintaan terhadap kemampuan melalui pengenalan lebih banyak produk dengan kandungan gula yang rendah, harga dan saiz pek yang sesuai, dan jelas produk yang berbeza.

"Lembaga Pengarah dan pengurusan akan terus berhati-hati dan mengambil tindakan tegas untuk memastikan pertumbuhan yang mampan bagi perniagaan kami dan mengembangkan capaian global kami bagi eksport kami," katanya.

-BERNAMA

Berita Harian X