Jumaat, 2 Februari 2018 | 4:49pm

Untung Alibaba melonjak 56 peratus

BEIJING: Pendapatan Alibaba Group Holding Ltd, syarikat e-dagang terbesar China melonjak 56 peratus pada suku ketiga, mengatasi jangkaan sebahagian besar penganalisis pasaran.

Kumpulan itu yang juga menaikkan unjuran untuk tahun kewangan selanjutnya akan mengambil alih 33 peratus kepentingan dalam syarikat pembayaran bersekutu, Ant Financial.

Ant Financial, bernilai AS$60 bilion (RM233 bilion) pada 2016, dijangka melaksanakan tawaran awam permulaan (IPO).

"Ini bukan rahsia, semua orang tahu bahawa Ant Financial akan melaksanakan IPO, dan (membeli kepentingan) hanya sesuatu yang mereka perlu lakukan sebelum ia (IPO) dilaksanakan," kata penganalisis yang berpangkalan di Beijing, China, Li Chengdong.

Pertumbuhan kukuh dan langkah mengikat secara lebih rapat dengan Ant Financial, yang mengendalikan sistem pembayaran dalam talian sangat popular, Alipay, berlaku berikutan Alibaba meninjau untuk mengekang pesaing dalam perniagaan e-dagang terasnya, yang mana penganalisis jangka akan mula menjejaskan pertumbuhan.

Alibaba, bagaimanapun, menentang jangkaan itu.

Pendapatan bagi tempoh Oktober-Disember meningkat kepada 83.03 bilion yuan (RM51.49 bilion), meningkat berbanding 53.2 bilion yuan tahun sebelumnya.

Ia mengatasi jangkaan purata 79.8 bilion yuan oleh 28 penganalisis oleh Thomson Reuters.

Syarikat itu juga menaikkan jangkaan pendapatan 2018 sebanyak 55 peratus kepada 56 peratus, meningkat daripada 49 kepada 53 peratus.

Urus niaga dengan Ant Financial, yang mana akan menggantikan sistem semasa yang mana Alibaba menerima 37.5 peratus untung bersih Ant, akan memperlihatkan syarikat mengambil alih ekuiti baharu yang diterbitkan dalam syarikat bersekutu sebagai pertukaran terhadap sesetengah hak harta inteleknya.

Urus niaga itu tidak mempunyai kesan kepada tunai Alibaba, katanya.

"Pentingnya, kepentingan ekuiti dalam Ant Financial membolehkan Alibaba dan pemegang saham untuk menyertai dalam pertumbuhan masa depan sektor teknologi kewangan," kata Ketua Pegawai Eksekutif Alibaba, Daniel Zhang dalam satu kenyataan.

Credit Suisse adalah penasihat kewangan Alibaba, sementara Morrison & Foerster dan King & Wood Mallesons menyediakan peguam undang-undang.

PricewaterhouseCoopers adalah penasihat cukai sementara Wachtell, Lipton, Rosen & Katz, Sidley Austin LLP dan Fangda Partners adalah penasihat undang-undang Ant. - Reuters

Berita Harian X