Selasa, 30 Januari 2018 | 6:25pm

HSS Engineers sasar projek infrastruktur luar negara

KUALA LUMPUR: HSS Engineers Bhd (HSS Engineers) meninjau lebih banyak peluang pengambilalihan khususnya dari luar negara dalam usaha mengembangkan perniagaan kejuruteraan dan air di peringkat antarabangsa.

Walaupun terdapat pertumbuhan infrastruktur dalam pasaran tempatan dengan projek mega seperti Rangkaian Rel Pantai Timur (ECRL), Rel Berkelajuan Tinggi (HSR) dan Transit Aliran Massa 3 yang semakin meningkat dan berpotensi memberi kesan kepada gabungan keupayaan HSS Engineers, syarikat itu menetapkan matlamatnya untuk projek infrastruktur di luar negara.

HSS Engineers masih mempunyai baki dana sebanyak RM24 juta daripada Tawaran Awam Permulaan (IPO) yang akan digunakan bagi transaksi penggabungan dan pengambilalihan lain.

"Kami dalam proses mencari lebih banyak peluang pengambilalihan. Kami telah menolak 50 syarikat di India yang berpotensi untuk pengambilalihan kerana tidak sesuai dan kami masih mencari," kata Pengarah Eksekutifnya, Tan Sri Kuna Sittampalam pada sidang media di sini, hari ini.

"Masih ada beberapa sasaran yang berpotensi di luar sana dan kami sedang sibuk menilai peluang yang ada," katanya.

HSS Engineers mendapat kelulusan pemegang saham bagi pengambilalihan keseluruhan kepentingan dalam SMHB Engineering Sdn Bhd dengan nilai RM279 juta.

Transaksi berkenaan berfungsi sebagai pengembangan dua hala ke dalam sektor air dan pengangkutan.

Pengambilalihan itu menjadikan jumlah gabungan tempahan belum dibilkan sebanyak RM742 juta yang mana boleh bertahan bagi tempoh tiga hingga lima tahun.

"Kami kini selangkah lebih dekat untuk mencipta jenama utama dalam perundingan kejuruteraan di Malaysia dan rantau ini.

"Kini kami boleh mengambil langkah yang lebih besar untuk melonjakkan pengembangan dua hala sektor pengangkutan dan air dengan meningkatkan kecekapan teras kami di kawasan pertumbuhan tinggi ini," kata Kuna.

Jika tiada sebarang halangan, Kuna berkata, pengambilalihan itu dijangka selesai pada suku pertama tahun ini.

Penempatan persendiriannya dijangka selesai pada awal Mac, diikuti penyenaraian saham hak, saham bonus dan waran.

Tarikh bagi terbitan hak dijangka diumumkan pada Februari dengan tarikh penutup bagi permohonan dan penerimaan adalah pada awal Mac ini.

Berita Harian X