Khamis, 25 Januari 2018 | 1:14pm

Pusat 3S, 4S PROTON bertambah

KUALA LUMPUR: Lebih ramai pengedar PROTON Holdings Bhd (Proton) menaik taraf pusat operasi masing-masing bagi menawarkan jualan, servis dan jualan alat ganti untuk pelanggan selain perkhidmatan ketuk dan cat di bawah satu bumbung.

Dalam satu kenyataan hari ini, PROTON berkata, lima peniaga telah menaik taraf pusat mereka kepada 3S (menawarkan khidmat jualan, servis, alat ganti) dan 4S (menawarkan khidmat jualan, servis, alat ganti serta ketuk dan cat).

Syarikat kereta nasional itu berkata, kumpulan kedua peniaga yang menandatangani perjanjian Menaik Taraf Rangkaian Peniaga, akan mengikuti langkah empat yang lain yang sudah dinaik taraf pada Disember lalu.

"Hakikat kami memperoleh lebih ramai pengedar untuk menaik taraf premis masing-masing membuktikan ada ahli perniagaan yang yakin terhadap jenama PROTON.

"Usaha sama ini akan meningkatkan kehadiran dalam industri," kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Dr Li Chunrong.

PROTON berkata, ia sudah membuat kemajuan dalam program insentif untuk peniaga sedia ada bagi menaik taraf pusat mereka kepada 3S dan 4S.

Ia bagi menyeragamkan jualan dan perkhidmatan yang ditawarkan kepada semua pelanggan, sambil memastikan kepuasan pelanggan tetap menjadi keutamaan perniagaan. - BERNAMA

Berita Harian X