Ahad, 21 Januari 2018 | 2:47pm

SC sasar 100 syarikat utama ada pengarah wanita

KUALA LUMPUR: Setakat 17 Januari tahun ini, ada hanya tujuh syarikat dengan semua ahli lembaga pengarahnya lelaki dalam kalangan 100 syarikat utama di negara ini, meningkat sebanyak 65 peratus berbanding 20 syarikat pada 31 Disember 2016.

Pada pelancaran Kod Bagi Tadbir Urus Korporat Malaysia (MCCG) pada April 2017, Suruhanjaya Sekuriti (SC) menetapkan sasaran tiada lagi semua ahli lembaga pengarah lelaki di 100 syarikat utama menjelang akhir tahun ini.

"Tujuh lagi syarikat itu ialah Affin Holdings Bhd, Alliance Bank Bhd, Batu Kawan Bhd, Fraser & Neave Holdings Bhd, Genting Plantations Bhd, Genting Malaysia Bhd, dan UOA Development Bhd," kata SC dalam satu kenyataan, semalam.

SC dan 30 peratus Club Malaysia sudah mengadakan pembabitan secara aktif bersama syarikat berkenaan.

Pada masa sama, SC berkata ia difahamkan bahawa sebahagian daripada syarikat terbabit sedang mengambil pelbagai langkah untuk mengenal pasti calon yang sesuai dalam memastikan penyertaan golongan wanita dalam lembaga pengarah mereka.

"Fraser & Neave akan menamakan dua calon wanita untuk dilantik sebagai ahli lembaga pengarah dalam mesyuarat agung tahunan mereka yang akan datang," katanya.

Di bawah MCCG, syarikat senaraian awam dikehendaki menzahirkan dasar sasaran dan langkah kepelbagaian jantina.

Sementara itu, setakat 31 Disember 2017, 19.2 peratus keanggotaan lembaga pengarah 100 syarikat teratas yang tersenarai di Bursa Malaysia terdiri daripada wanita, meningkat daripada 16.6 peratus pada 31 Disember 2016.

Sehubungan itu, SC berkata usaha untuk menggalakkan kepelbagaian jantina dalam lembaga pengarah syarikat senaraian awam kekal menjadi keutamaannya.

"Ini adalah susulan daripada pelancaran Tahun Pemerkasaan Wanita oleh kerajaan baru-baru ini," katanya.

SC akan menyemak dan menganalisis penzahiran tadbir urus korporat untuk memantau tahap pelaksanaan amalan CG termasuk kepelbagaian jantina.

Pemerhatian ini akan disiarkan oleh SC melalui laporan berkala bertema tadbir urus korporat.

Berita Harian X