Ahad, 31 Disember 2017 | 8:00pm
PENGERUSI Kumpulan PNB, Tan Sri Abdul Wahid Omar. - Foto Salhani Ibrahim
PENGERUSI Kumpulan PNB, Tan Sri Abdul Wahid Omar. - Foto Salhani Ibrahim

PNB tumpu tiga bidang jamin pulangan kukuh

KUALA LUMPUR: Permodalan Nasional Bhd (PNB) akan terus melaksanakan Pelan Strategik pada 2018 bagi memastikan prestasi kewangannya terus kukuh, dengan keutamaan dalam tiga bidang utama.

Pengerusi Kumpulan, Tan Sri Abdul Wahid Omar, berkata tumpuan utama yang pertama ialah memastikan syarikat strategiknya menumpu mempertingkatkan asas perniagaan, perolehan dan dividen, yang mana akan memacu kepada peningkatan jumlah pulangan pemegang saham (TSR).

Beliau berkata, keutamaan kedua pula ialah melaksanakan Alokasi Aset Strategik PNB untuk meningkatkan pulangannya secara mapan dan masih dalam toleransi risikonya.

Katanya, ia termasuk meningkatkan pendedahan kepada pelaburan swasta di peringkat domestik dan antarabangsa tertakluk kepada peluang yang tepat.

"Keutamaan ketiga ialah sentiasa berhubung dengan syarikat teras kami, yang mana, kami mempunyai sekurang-kurangnya 10 peratus pegangan atau RM1 bilion dalam nilai untuk memacu prestasi yang lebih baik," katanya dalam mesej tahun baharu, hari ini.

Abdul Wahid berkata, adalah penting bagi syarikat korporat Malaysia untuk meningkatkan pertumbuhan pendapatan mereka untuk menjana TSR yang lebih tinggi.

Beliau berkata, konsensus pertumbuhan pendapatan syarikat senaraian awam pada 2017 adalah sebanyak 5.7 peratus, yang mana adalah di bawah jangkaan awal syarikat pengurus dana itu.

Katanya, walaupun unjuran pertumbuhan pendapatan 2018 lebih tinggi pada 6.9 peratus, harapan PNB adalah dengan strategi dan pelaksanaan yang tepat, pertumbuhan pendapatan korporat Malaysia akan lebih tinggi.

Di samping memastikan prestasi kewangan dan syarikatnya kukuh pada 2018, Abdul Wahid berkata, PNB akan terus berusaha keras bagi memastikan inisiatif saham-i atau i-shares menjadi kenyataan.

Beliau berkata, pihaknya akan terus berhubung dengan pihak berkepentingan yang relevan bagi merealisasikan inisiatif berkenaan.

Jika inisiatif itu menjadi kenyataan, ia mampu menyelesaikan isu kekurangan saham berlandaskan Syariah atau instrumen ekuiti berkaitan perkhidmatan kewangan di pasaran saham, katanya.

Bagi 2017, Abdul Wahid berkata, PNB mencapai beberapa kejayaan yang bermakna termasuk peningkatan prestasi kewangannya dengan pendapatan bersih syarikat meningkat 7.1 peratus kepada RM15.4 bilion.

Beliau berkata, PNB berjaya melaksanakan inisiatif transformasi syarikat strategiknya dengan memperlihatkan nilai permodalan pasaran syarikat strategiknya itu meningkat sebanyak RM39 bilion pada 2017.

Abdul Wahid berkata, satu lagi pencapaian utama PNB pada 2017 adalah penetapan fatwa 'Harus' atau 'dibenarkan' untuk pelaburan dalam dananya daripada Selangor dan Pulau Pinang.

Beliau berkata, pada tahun lalu juga PNB berjaya melaksanakan penukaran kepada sistem teknologi maklumat (IT) bagi Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada semua pemegang unit.

Katanya, syarikat pengurusan dana itu juga mendapat kelulusan daripada kerajaan bagi pendekatan "Lautan Biru" PNB dalam memupuk amalan menabung dan perancangan kewangan dari usia muda dengan pengumuman insentif khas RM200 bagi semua bayi warga negara Malaysia yang lahir antara 1 Januari 2018 dan 31 Disember 2022 di bawah program Amanah Dana Anak Malaysia 2050 (ADAM50).

Berita Harian X