Ahad, 31 Disember 2017 | 3:26pm

Agrobank salur pembiayaan cecah RM9.5 bilion

KUALA LUMPUR: Agrobank, bank yang dimandatkan untuk memperkasa industri pertanian negara merekodkan pertumbuhan memberangsangkan bagi tahun 2017 dengan nilai pembiayaan keseluruhan kira-kira RM9.5 billion.

Ia mewakili pertumbuhan sebanyak 8.4 peratus, setakat November 2017.

Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Masaat Awadz, berkata peningkatan pembiayaan pertanian adalah seiring dengan pertumbuhan pasaran dan permintaan untuk pengeluaran pertanian dan industri asas tani.

Agrobank juga kekal menerajui pembiayaan untuk sektor agro-makanan dengan pertumbuhan sehingga 12.9 peratus, membabitkan nilai keseluruhan RM3.5 bilion berbanding RM3.1 bilion tahun lalu.

"Peningkatan memberangsangkan ini seiring dengan komitmen Agrobank yang sentiasa proaktif dalam menyediakan perkhidmatan kewangan yang relevan dan bersesuaian dengan keperluan pelanggan terutama komuniti agro yang rata-rata adalah berasaskan makanan.

"Dalam apa juga keadaan ekonomi, akan terus ada permintaan untuk makanan dan prospek untuk pertanian dan agro-makanan akan terus meningkat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Masaat berkata, fokus Agrobank kepada industri agro-makanan negara adalah seiring dengan hasrat dan sasaran kerajaan yang telah termaktub dalam Dasar Agromakanan Negara 2011-2020 iaitu memastikan bekalan makanan negara terjamin dan membantu perkembangan perniagaan pertanian.

"Sebagai bank yang lebih memahami sektor pertanian, Agrobank menawarkan pembiayaan komprehensif yang meliputi aktiviti pertanian dari sektor huluan dan hiliran yang meliputi pelbagai jenis perniagaan berasaskan pertanian.

"Agrobank juga sentiasa mendukung hasrat kerajaan untuk mengurangkan kadar kebergantungan negara terhadap makanan import. Setakat ini, rekod positif yang ditunjukkan untuk segmen agro-makanan memberikan keyakinan kepada kami untuk terus memberikan penekanan kepada segmen ini.

"Untuk makluman, agro-makanan menyumbang sebanyak RM36.5 bilion atau tiga peratus kepada Kadar Dalam Negara Kasar (KDNK) negara," katanya.

Bagi memenuhi keperluan perniagaan agro yang meningkat, Agrobank memperkenalkan pusat pembiayaan khusus untuk kawasan wilayah agro yang strategik.

Dalam tahun 2017, Pusat Pembiayaan Korporat di Kuching dirasmikan pada Julai, manakala Pusat Pembiayaan Komersil di Hutan Melintang dirasmikan pada November.

Masaat berkata, konsep pusat pembiayaan khusus itu diperkenalkan Agrobank untuk mewujudkan pusat yang memberi pengkhususan pembiayaan kepada dua jenis pembiayaan iaitu komersial dan korporat.

Bagi pembiayaan komersial, Agrobank menawarkan pembiayaan bernilai RM51,000 hingga RM10 juta, manakala untuk pembiayaan korporat menawarkan pembiayaan bernilai lebih RM10 juta.

"Pusat ini diperkenalkan di kawasan yang mempunyai impak agro yang tinggi dan khusus untuk memberi khidmat nasihat untuk pembiayaan berskala sederhana dan besar," katanya.

Berita Harian X