Ahad, 24 Disember 2017 | 6:58pm

Mara Inc muktamad penjualan hartanah di Melbourne

KUALA LUMPUR: MARA Incorporated Sdn Bhd (MARA Inc.) memuktamadkan penjualan hartanah 333 Exhibition Street di Melbourne, Australia pada harga A$37.5 juta (RM118.035 juta).

MARA Inc., dalam satu kenyataan di sini, memaklumkan hartanah itu diambil alih pada 2013 melalui pemilikan 100 peratus pegangan saham Carlton Garden Pte Ltd pada harga A$31.0 juta (RM97.575 juta).

"Ini adalah penjualan hartanah kedua MARA Inc. di Australia dan urusan penjualan 333 Exhibition dikendalikan oleh Jones Lang Lasalle (VIC) Pty Limited (JLL), firma ejen hartanah terkenal di Melbourne.

"Bangunan 333 Exhibition ini berkeluasan 6,528 meter persegi merangkumi enam tingkat ruang pejabat.

Semua ruang pejabat pada waktu ini telah disewakan kepada Universiti Melbourne. Bangunan ini diuruskan oleh JLL, salah satu firma pengurus bangunan terkemuka di Melbourne," menurut kenyataan itu.

MARA Inc. telah memuktamadkan penjualan hartanah ini pada Disember 2017 sebagai langkah menyahut saranan kerajaan dalam menggalakkan syarikat tempatan menjana pendapatan daripada pelaburan di luar negara untuk dilaburkan dalam projek tempatan yang secara tidak langsung boleh menyumbang kepada perkembangan ekonomi negara. - BERNAMA

Berita Harian X