Rabu, 13 Disember 2017 | 5:32pm
PENGARAH Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd (Mydin), Datuk Ameer Ali Mydin bersama Ketua Pegawai Eksekutif AmMetLife, Noor Azam Mohd Yusof melancarkan takaful iMeriah di Subang Jaya, hari ini. Majlis disaksikan oleh Ketua Komunikasi Korporat dan Pemasaran Kumpulan AmBank, Syed Anuar Syed Ali dan Pengarah Eksekutif Mydin, Datuk Murad Ali Mydin. - Foto Amirudin Sahib
PENGARAH Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd (Mydin), Datuk Ameer Ali Mydin bersama Ketua Pegawai Eksekutif AmMetLife, Noor Azam Mohd Yusof melancarkan takaful iMeriah di Subang Jaya, hari ini. Majlis disaksikan oleh Ketua Komunikasi Korporat dan Pemasaran Kumpulan AmBank, Syed Anuar Syed Ali dan Pengarah Eksekutif Mydin, Datuk Murad Ali Mydin. - Foto Amirudin Sahib

BR1M bantu tingkat industri runcit - MYDIN

bhbiz.bh.com.my

SUBANG JAYA: Inisiatif kerajaan menyalurkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) banyak membantu dan melegakan industri jualan runcit serta perniagaan pasar raya.

Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd (Mydin), Datuk Ameer Ali Mydin berkata, langkah itu sedikit sebanyak dapat mengurangkan kebimbangan terhadap penurunan jualan runcit khususnya bagi segmen perniagaan pasar raya kerana ia dibuka bagi memenuhi keperluan golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Katanya, sekiranya golongan terbabit tidak mampu untuk berbelanja di pasar raya, sektor peruncitan akan berada di tahap yang sama dan tidak berkembang sekali gus bakal mewujudkan penurunan sekali lagi dalam segmen berkenaan.

"Dari segi pemberian BR1M, sebagai contoh rakyat menerimanya pada hari ini, dan pada keesokannya, jualan sudah pasti menunjukkan peningkatan kerana aliran perbelanjaan rakyat dan ia adalah sesuatu yang bagus buat perniagaan.

"Pada masa sama, kita juga berharap pada 2018 sektor peruncitan boleh meningkat dua hingga tiga peratus didorong jangkaan Pilihan Raya Umum ke-14 tahun hadapan berbanding penurunan sebanyak lima peratus tahun ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran takaful iMeriah di Subang Jaya, di sini hari ini.

Majlis berkenaan menyaksikan Mydin, Pengendali pasar raya besar terkemuka tempatan bekerjasama dengan AmMetLife Takaful Berhad (AmMetLife Takaful) melancarkan perlindungan takaful, iMeriah khusus untuk pemegang Kad Meriah Mydin di seluruh negara.

Pelancaran disempurnakan oleh Ameer Ali mewakili Mydin, manakala AmMetLife Takaful diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Noor Azam Mohd Yusof.

Majlis disaksikan oleh Ketua Komunikasi Korporat dan Pemasaran Kumpulan AmBank, Syed Anuar Syed Ali dan Pengarah Eksekutif Mydin, Datuk Murad Ali Mydin.

Ameer Ali berkata, pemegang kad Meriah Mydin perlu berbelanja sekurang-kurangnya RM600 di pasar raya Mydin terpilih dalam tempoh sebulan dan akan mendapat perlindungan pada bulan berikutnya.

Katanya, perlindungan takaful itu adalah percuma kerana kos berkenaan ditanggung oleh Mydin, sekali gus tiada kos dikenakan ke atas pelanggan.

"Tempoh perlindungan iMeriah adalah selama sebulan dan akan diperbaharui setiap kali kriteria perbelanjaan bulanan minimum RM600 dipenuhi oleh ahli kad Mydin.

"Apabila berlaku kematian terhadap ahli kad Meriah yang dilindungi, penama akan dibenarkan berbelanja RM300 setiap bulan di Mydin bagi barang keperluan harian selama 12 bulan," katanya.

Berita Harian X