Isnin, 4 Disember 2017 | 12:22pm
PEMBINAAN Loji Penapisan sehingga Ogos 2016 di Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC). - Foto Ihsan Petronas
PEMBINAAN Loji Penapisan sehingga Ogos 2016 di Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC). - Foto Ihsan Petronas

PIC rangsang pembangunan urbanisasi

KUALA LUMPUR: Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC) yang dalam laluan untuk memulakan operasinya pada 2019, akan menjadi pemangkin utama kepada pertumbuhan masa hadapan PETRONAS.

Laporan Tinjauan Aktiviti PETRONAS (PAO) bagi 2018-2020 menjelaskan disebabkan oleh saiz PIC, aktiviti di kompleks itu dijangka meningkat sekali ganda sebaik saja operasinya bermula.

"Dianggarkan dalam tempoh lima ke 10 tahun akan datang, kompleks itu akan merangsang pembangunan urbanisasi baharu dengan aktiviti sampingan yang memberi manfaat, khususnya komuniti tempatan," kata PETRONAS di dalam laporan itu yang diterbitkan hari ini.

PIC adalah antara projek pembangunan minyak dan gas terbesar di rantau ini, selain pelaburan hiliran terbesar PETRONAS setakat ini.

Ia menempatkan kompleks Pembangunan Bersepadu Kilang Penapisan dan Petrokimia (RAPID) yang merangkumi kompleks penapisan minyak mentah bersepadu, perekah naphtha dan petrokimia.

PIC disokong oleh kemudahan lain yang terdiri daripada Loji Janaan Bersama Pengerang (PCP), Terminal Regasifikasi 2 (RGT2), Projek Air Mentah RAPID (PAMER), Unit Pemisahan Udara (ASU), Terminal Perairan Dalam Pengerang (PDT2), selain Kemudahan dan Utiliti Berpusat (UF).

Dengan pelaburan mencecah AS$27 bilion, PIC menyokong Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan akan merangsang pertumbuhan sektor hiliran minyak dan gas negara, sekali gus melonjakkan Malaysia ke arah era baharu pembangunan ekonomi dan teknologi.

PIC bukan hanya akan menampung permintaan domestik bagi produk petroleum, malah memenuhi keperluan masa depan kerajaan dengan pelaksanaan spesifikasi Euro 5 bagi bahan bakar dan diesel.

Ia dijangka memanfaatkan peningkatan keperluan bagi produk petroleum di Asia dalam tempoh 20 tahun akan datang.

PETRONAS menerbitkan laporan PAO 2018-2020 bagi berkongsi perspektifnya terhadap trend industri, tinjauan permintaan dan aktiviti dirancang untuk tiga tahun akan datang.

Laporan itu, yang diterbitkan bagi menambah baik aliran maklumat pasaran, adalah sebahagian usaha PETRONAS untuk mempromosi dan menggalakkan sektor Perkhidmatan dan Peralatan Minyak dan Gas (OGSE) lebih mantap, berdaya tahan dan berdaya saing.

Naib Presiden Pemerolehan Kumpulan PETRONAS, Samsudin Miskon, berkata ketidaktentuan dalam industri minyak dan gas kekal menjadi satu topik perbincangan berterusan.

Beliau berkata, penting bagi peserta industri memahami trend utama sebagai barometer di dalam industri.

"Usaha PETRONAS menangani ketidaktentuan ini adalah melalui ketelusan maklumat, yang akan membantu menyeimbangkan semula aktiviti pasaran.

"Ini akan memberi impak secara positif ekosistem penyokong seperti pelaburan dan pembiayaan, yang penting bagi menggalakkan sektor OGSE sedang berkembang maju," katanya.

Usaha PETRONAS mengurangkan kos dan meningkatkan tahap kecekapan melalui inisiatif transformasi dalaman seperti CACTUS, CORAL 2.0, pendigitalan dan kerjasama industri, mula menunjukkan keputusan positif bagi menjamin kemampanan jangka panjang industri.

Berita Harian X