Khamis, 30 November 2017 | 7:35pm
Timbalan Pengerusi yang juga Pengarah Urusan Kumpulan Boustead Holdings Bhd (BHB), Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin. - Foto Khairull Azry Bidin

BHB catat keuntungan bersih RM581 juta

 

KUALA LUMPUR: Boustead Holdings Bhd (BHB) mencatatkan keuntungan selepas cukai (PAT) RM581 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2017, meningkat berbanding RM93 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya.

Ia diraih daripada pendapatan berjumlah RM2.5 bilion.

 

Untung sebelum cukai meningkat kepada RM643 juta berbanding RM120 juta yang dicatatkan tempoh sama tahun lalu.

 

Timbalan Pengerusi yang juga Pengarah Urusan Kumpulan, Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin, berkata prestasi kukuh itu dicapai berikutan keuntungan yang diperoleh atas pelupusan tanah ladang berjumlah RM555 juta.

 

Beliau berkata, bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2017, BHB mencatatkan PAT lebih tinggi berjumlah RM749 juta berbanding RM404 juta bagi tempoh sama tahun lalu, manakala keuntungan sebelum cukai meningkat kepada RM877 juta daripada RM498 juta.

 

"Pendapatan bagi tempoh sembilan bulan meningkat kepada RM7.2 bilion, naik 22 peratus berbanding RM5.9 bilion untuk tempoh sama tahun lalu," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

 

Lodin berkata, sejajar dengan komitment BHB untuk meningkatkan nilai bagi pemegang saham, Lembaga Pengarah mengumumkan dividen interim ketiga sebanyak tiga sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2017.

 

Beliau berkata, dividen akan dibayar pada 29 Disember 2017 kepada pemegang saham yang tersenarai dalam daftar 18 Disember 2017.

 

"Penyumbang utama bagi tempoh sembilan bulan berkenaan ialah bahagian perladangan dengan untung lebih tinggi berjumlah RM685 juta berbanding RM201 juta pada tempoh sama tahun lalu.

 

"Pendapatan disokong oleh harga produk sawit lebih tinggi dan kos kewangan lebih rendah. Harga minyak sawit mentah purata bagi tempoh sembilan bulan meningkat 16 peratus kepada RM2,871 satu tan," katanya.

 

Mengulas lanjut, Lodin berkata, bahagian perladangan dan perindustrian mencatatkan keuntungan RM87 juta untuk tempoh sembilan bulan berbanding RM81 juta tempoh sama tahun lalu.

 

"Bahagian kewangan dan pelaburan mencatatkan keuntungan berjumlah RM48 juta berbanding RM46 juta manakala bahagian farmaseutikal mencatat untung lebih rendah berjumlah RM39 juta berbanding RM53 juta.

 

"Bahagian industri berat catat keuntungan RM23 juta, iaitu pemulihan daripada defisit yang dicatatkan dalam tempoh sama tahun lalu. Bahagian hartanah mengalami defisit RM6 juta walaupun keputusan lebih kukuh dicapai oleh segmen hotel berasaskan kadar penginapan lebih tinggi," katanya.

 

INFO

Prestasi kewangan suku ketiga BHB 

- Keuntungan selepas cukai RM581 juta

- Keuntungan sebelum cukai RM643 juta

Berita Harian X