Khamis, 30 November 2017 | 12:07pm
TAN Sri Abdul Wahid Omar pada Listing of Sime Darby Plantation Berhad and Sime Darby Property Berhad on the Main Market of Bursa Malaysia di Bursa Malaysia Berhad. - Foto NSTP/Aswadi Alias

Penyenaraian 3 entiti beri manfaat kepada Sime Darby

KUALA LUMPUR: Penyenaraian tiga syarikat khusus bebas iaitu Sime Darby Bhd (Sime Darby), Sime Darby Property Bhd (Sime Darby Property) dan Sime Darby Plantation Bhd (Sime Darby Plantation) di Pasaran Utama Bursa Malaysia akan mencipta nilai dan memberi manfaat kepada konglomerat berkenaan.

Pengerusi Sime Darby Property, Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata ahli lembaga pengarah dan pengurusan kanan ketiga-tiga syarikat yang disenaraikan secara berasingan itu akan memberikan tumpuan yang lebih baik terhadap perniagaan teras masing-masing.

Selain itu, katanya peruntukan modal yang lebih baik dari aspek kewangan dan sumber manusia juga boleh disalurkan dan ketelusan prestasi pengurusan setiap entiti juga akan menjadi lebih baik.

"Pihak pengurusan ketiga-tiga syarikat kini perlu mencapai sasaran yang ditetapkan selain perlu mengukur tahap prestasi mereka berbanding pesaing lain dalam industri masing-masing.

"Dengan langkah ini, kami percaya penciptaan nilai akan berlaku dan sejak pengumuman pengasingan dibuat, kami melihat harga saham dan modal pasaran semakin meningkat.

"Secara keseluruhannya, daripada perspektif pemegang saham dan perspektif Permodalan Nasional Bhd (PNB) yang juga adalah pemegang saham utama dalam ketiga-tiga syarikat berkenaan, kami gembira kerana nilai telah dicipta," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyenaraian syarikat terbabit di Bursa Malaysia, di sini hari ini.

Pada permulaan dagangan, saham Sime Darby meningkat 55 sen kepada RM2.40 pada permulaan dagangan di Bursa Malaysia berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO), RM1.85.

Manakala saham Sime Darby Plantation didagangkan pada RM5.60, meningkat satu sen daripada harga IPO, RM5.59 dan Sime Darby Property pula didagangkan pada RM1.30, susut 20 sen daripada harga IPO, RM1.50.

Pada Februari lalu, Sime Darby dalam satu kenyataan di Bursa Malaysia mengumumkan akan menyusun semula struktur dalaman dan pengagihan saham sebelum cadangan penyenaraian dilakukan.

Berita Harian X