Selasa, 28 November 2017 | 10:51pm

Pendapatan suku ketiga UEM Edgenta naik

KUALA LUMPUR: UEM Edgenta Bhd mencatatkan pendapatan lebih tinggi, iaitu RM523 juta pada suku ketiga berakhir 30 September 2017, daripada RM373 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, kumpulan itu bagaimanapun berkata keuntungan sebelum cukai rendah sedikit pada RM32.11 juta, berbanding RM49 juta sebelumnya.

Dalam kenyataan berasingan, UEM Edgenta berkata, peningkatan dalam pendapatan disumbangkan oleh perkhidmatan penjagaan kesihatan yang mencatatkan pendapatan lebih tinggi, terutamanya sumbangan perniagaan yang baru diperoleh, UEMS Pte Ltd.

Ini diikuti oleh bahagian perkhidmatan hartanah dan perkhidmatan infrastruktur, yang disumbangkan terutamanya oleh kerja awam yang lebih tinggi dilaksanakan di lebuh raya, serta peningkatan sumbangan daripada perkhidmatan pengurusan perbandaran dan kontrak kemudahan yang diperoleh semasa tempoh berkenaan.

"Kami gembira strategi kami dalam memperkukuhkan bahagian perkhidmatan penjagaan kesihatan, perkhidmatan harta tanah dan perkhidmatan infrastruktur memberikan keputusan positif seperti yang dilihat dalam prestasi kami.

"Dan kami menjangka dapat mengekalkan prestasi, didorong oleh pertumbuhan organik dan momentum yang kukuh dalam tiga sektor teras kami," kata Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif UEM Edgenta, Datuk Azmir Merican.

Syarikat itu juga memulakan pelbagai inisiatif operasi untuk memacu kecekapan operasi, dan ini termasuk memperluaskan penawaran perkhidmatan dalam sektor penjagaan kesihatan komersial; mengembangkan perkhidmatan perbandaran dan bangunannya di wilayah selatan; dan memberi tumpuan kepada pasaran utamanya di Malaysia, Indonesia, Singapura, Taiwan dan Asia Barat - BERNAMA

Berita Harian X