Rabu, 15 November 2017 | 9:25pm
TAN Sri Ahmad Ramli Mohd Nor
TAN Sri Ahmad Ramli Mohd Nor

Untung bersih 9 bulan BHIC RM34.4 juta

KUALA LUMPUR: Boustead Heavy Industries Corporation Bhd (BHIC) mencatatkan keuntungan selepas cukai (PAT) RM34.4 juta bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2017, peningkatan 63 peratus daripada RM21.1 juta yang dicatat pada tempoh sama tahun sebelumnya.

Ia diraih daripada pendapatan berjumlah RM184.9 juta.

Bagi suku ketiga berakhir 30 September 2017, BHIC merekodkan PAT berjumlah RM7.7 juta dan pendapatan sebanyak RM64.3 juta.

Prestasi itu sebahagian besarnya dikaitkan dengan segmen Pertahanan yang mencatatkan keuntungan lebih tinggi dalam suku ketiga.

Ia berikutan semakan semula menaik untuk projek penyenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) serta sumbangan lebih tinggi daripada syarikat usaha sama yang terbabit dalam Kapal Tempur Pesisir (LCS) dan projek kapal selam untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Di samping itu, syarikat usaha sama BHIC merekodkan sumbangan positif sebanyak RM3.6 juta pada suku dikaji, sebahagian besarnya disebabkan oleh nilai pertukaran asing yang menggalakkan daripada pembayaran dagangan.

Malah, aktiviti pembaikan kapal laut mencatatkan keuntungan lebih tinggi berikutan kemajuan baik kerja pembaikan kapal, pembalikan peruntukan kos dan pembalikan hutang berhubung kerja menyelamatkan projek Program Pemanjangan hayat Kapal (SLEP).

Timbalan Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusan BHIC, Tan Sri Ahmad Ramli Mohd Nor, berkata prestasi kumpulan pada suku ketiga 2017 menyerlahkan daya tahan BHIC apabila menghadapi keadaan pasaran yang mencabar dalam industri marin tempatan dan global.

Beliau berkata, walaupun pemulihan ekonomi global perlahan serta tinjauan geopolitik yang tidak menentu, BHIC mencatatkan keputusan yang menguntungkan bagi tiga suku berturut-turut tahun kewangan semasa.

"Kumpulan BHIC membuat usaha bersepadu untuk mengembangkan portfolio kami, dengan meraih kontrak berpotensi dengan pihak seperti Polis Diraja Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia serta pihak asing," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Ahmad Ramli berkata, bergerak ke hadapan, aktiviti pertahanan dan keselamatan akan kekal sebagai penyumbang utama kepada aliran pendapatan kumpulan.

"Walaupun pengumuman Bajet 2018 memperkenalkan peruntukan perbelanjaan yang lebih bijak oleh kerajaan Malaysia, terdapat beberapa kontrak pertahanan baru-baru ini dianugerahkan kepada syarikat usaha sama BHIC.

"Syarikat usaha sama itu ialah BHIC AeroServices Sdn Bhd, Boustead DCNS Naval Corporation Sdn Bhd dan BHIC Defense Technologies Sdn Bhd.

"Kami yakin kontrak ini akan menyumbang secara positif ke atas pendapatan kami pada masa depan," katanya.

Berita Harian X