Isnin, 13 November 2017 | 9:17pm

RHB AM lancar Global Real Estate Equity Fund

KUALA LUMPUR: Anak syarikat RHB Investment Bank Bhd, RHB Asset Management Sdn Bhd (RHB AM) melancarkan dana terkininya, RHB Global Real Estate Equity Fund bertujuan menyediakan pulangan jangka panjang dengan melabur di seluruh dunia dalam portfolio ekuiti syarikat berkaitan industri hartanah.

Dalam kenyataan hari ini, RHB AM berkata Global Real Estate Equity Fund adalah dana feeder yang melabur dalam HSBC Global Investment Funds (GIF) Global Real Estate Equity (dana sasaran).

"Dana tersebut akan melabur sekurang-kurangnya 95 peratus daripada nilai aset bersihnya (NAV) dalam dana sasaran, manakala dua hingga lima peratus akan dilabur dalam aset cair, termasuk instrumen pasaran wang dan penyimpanan tunai," katanya.

Sementara itu, dana sasaran akan melabur dalam portfolio ekuiti berkaitan industri hartanah dalam pasaran maju.

Pengarah Serantau dan Pengarah Urusan RHB Group Asset Management, Eliza Ong, berkata ekuiti hartanah lazimnya memberi pulangan yang sama atau lebih baik, dan menawarkan hasil dividen yang tinggi berbanding ekuiti global.

"Kami optimis permintaan bagi dana tersebut akan mencapai langganan kira-kira RM100 juta dalam tempoh enam bulan," katanya.

Harga terbitan awal adalah RM1 seunit bagi tempoh tawaran awal 21 hari dari 13 Novomber hingga 3 Disember 2017, manakala jumlah pelaburan permulaan minimum ialah RM1,000.

RHB AM mempunyai modal berbayar dan dibenarkan sebanyak RM10 juta dan pada 30 September 2017, jumlah nilai dana yang dikendalikan sebanyak RM49.08 bilion.

- BERNAMA

Berita Harian X