Rabu, 1 November 2017 | 3:02pm

Saham Sony melonjak paras tertinggi 9 tahun

TOKYO: Harga saham Sony Corp melonjak ke paras tertinggi sembilan tahun hari ini selepas ia mengunjurkan mencatat rekod keuntungan tertinggi.

Syarikat elektronik itu mengunjurkan keuntungan 630 bilion yen (AS$5.57 bilion) bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac, berbanding 500 bilion yen yang dianggarkan tiga bulan lalu.

Di bawah Ketua Eksekutif, Kazuo Hirai, gergasi teknologi itu menyelaraskan perniagaan elektronik yang tidak menguntungkan dan memanfaatkan segmen telefon pintar yang pesat berkembang dengan membekalkan sensor imej.

Memenuhi unjuran terbaharu itu bermakna Sony melepasi rekod sebelum ini berjumlah 526 bilion yen, ditetapkan dalam tahun kewangan berakhir 31 Mac 1998, apabila jualan kukuh elektronik pengguna termasuk konsol permainan PlayStation.

"Sensor imej akan digunakan secara lebih meluas, dan pasarannya sangat besar," kata Masayuki Otani, ketua penganalisis pasaran di Securities Japan Inc.

"Keuntungan meningkat, dan bagi jangka sederhana dan panjang kami jangka harga saham syarikat mencecah paras 2007 pada 7,190 yen."

Sony juga berkata, keuntungan bagi Julai-September menokok kepada 204.2 bilion yen daripada 45.7 bilion yen setahun sebelumnya.

Harga saham Sony menokok setinggi 11.6 peratus ke paras tertinggi sejak Jun 2008, sekali gus kaunter paling banyak didagangkan di pasaran utama bursa saham Tokyo hari ini. - Reuters

Berita Harian X