Isnin, 30 Oktober 2017 | 7:53am
DATUK Dr Aminar Rashid Salleh.- Foto Surianie Mohd Hanif

PERODUA kekal sasaran jualan 2017

KUALA LUMPUR: Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA), yang mencatatkan peningkatan jualan 0.5 peratus kepada 151,600 unit bagi sembilan bulan pertama berakhir 30 September 2017, yakin jualan lebih baik pada suku keempat 2017 berikutan inisiatif baharu yang dirancang pada suku terakhir tahun ini.

Bagi suku ketiga 2017, jualan PERODUA berkurangan sedikit, sebanyak 3.0 peratus, kepada 51,900 berbanding 53,500 yang dicatatkan suku ketiga 2016.

"Jumlah jualan yang lebih besar pada suku ketiga tahun lalu disebabkan Perodua Bezza baharu diperkenalkan.

"Impak itu kembali normal sekarang dan jualan kami mendapat manfaat daripada pengenalan model itu," kata Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk (Dr) Aminar Rashid Salleh, dalam satu kenyataan pagi ini.

Perodua Bezza dilancarkan pada 21 Julai 2016.

Aminar berkata, cabaran bagi suku keempat 2017 termasuk kelulusan pinjaman sewa beli yang mencabar dan jangkaan persaingan sengit daripada jenama kereta lain.

Beliau berkata, terdapat sikap tunggu dan lihat bulan ini, dengan jangkaan pengumuman Bajet 2018, mengakibatkan penjualan yang agak perlahan.

"Suku keempat dijangka mencabar tetapi kami percaya dapat mengekalkan momentum jualan dan optimis dalam berhati-hati untuk memenuhi sasaran awal sebanyak 202,000 kenderaan menjelang akhir 2017," katanya.

Aminar berkata, setakat tahun ini, semua model Perodua adalah model terlaris dalam kategori masing-masing.

Mulai Januari hingga September tahun ini, Axia adalah modal kompak segmen A paling laris dalam negara dengan 48,700 unit dijual, diikuti Perodua Myvi yang adalah jualan terlaris bagi segmen B negara dengan 42,000 unit, Perodua Bezza, terlaris sedan segmen A kompak pada 39,800 unit dan Perodua Alza, MPV terlaris dengan jualan 21,400 unit.

Berhubung prestasi selepas jualan PERODUA, Aminar berkata penggunaan perkhidmatan meningkat 4.6 peratus kepada 1.58 juta bagi sembilan bulan pertama berakhir 30 September 2017 berbanding 1.51 juta untuk tempoh sama tahun lalu.

Bagi pengeluaran pula, PERODUA mengeluarkan 147,900 kenderaan untuk sembilan bulan pertama tahun ini, pengurangan 3.8 peratus berbanding 153,700 unit yang dihasilkan tempoh sama tahun lalu.

Aminar berkata, pengurangan itu dirancang kerana sesetengah stok kenderaan dikeluarkan pada suku keempat 2016 sebagai maklum balas kepada jangkaan kadar pertukaran yang lebih tinggi pada suku pertama 2017.

Berita Harian X