Selasa, 3 Oktober 2017 | 9:27pm
Laman sesawang Khazanah di www.khazanahneo.com.my

Khazanah rancang cungkil bakat keusahawanan

KUALA LUMPUR: Dana kekayaan kerajaan, Khazanah Nasional Bhd, mempelawa usahawan Malaysia untuk mengambil bahagian dalam program Khidmat Bantuan Keusahawanan Kebangsaan Khazanah, yang bermatlamat mencungkil bakat keusahawanan.

Dalam satu kenyataan di sini hari ini, Pengarah Urusannya Tan Sri Azman Mokhtar berkata program itu diharapkan dapat mencungkil bakat dengan idea inovatif berskala, dan membantu mereka merealisasikannya, memandangkan keusahawanan dan inovasi merupakan pemacu utama ekonomi.

"Selari dengan Agenda Pemperkasaan Bumiputera, di mana Khazanah merupakan sekretariat semasa bagi syarikat berkaitan kerajaan, program itu juga akan memastikan penyertaan signifikan dan bermakna oleh usahawan Bumiputera," katanya.

Mengulas mengenai program itu, Pengarah Eksekutif Khazanah Bagi Pelaburan, Tengku Datuk Seri Azmil Zahruddin berkata syarikat itu memperuntukkan RM3 juta untuk program berkenaan.

"Program ini juga bertujuan membangunkan ekosistem keusahawanan di negara ini, dan selari dengan mandat kami untuk membantu membina dan membangunkan modal insan negara.

Ia memberi peluang kepada sesiapa sahaja untuk memacu idea inovatif mereka menjadi perniagaan yang berdaya maju dan menjadi usahawan, dan pada masa yang sama, mewujudkan peluang pekerjaan," katanya pada taklimat kepada pemberita.

Beliau berkata program itu akan melengkapkan peserta dengan latihan penting dan maklumat industri menerusi siri kem latihan dan modul pemecut, dan pada masa yang sama menawarkan platform kepada mereka untuk menguasai syarat penting dalam memastikan kejayaan mereka.

Tengku Azmil berkata permohonan untuk program 28 minggu itu dibuka mulai 3 Okt hingga 27 Nov 2017, dan usahawan berminat berumur 18 tahun ke atas, boleh memohon secara dalam talian di www.khazanahneo.com.my.

Beliau berkata program itu akan menampung idea-idea teknikal, bukan teknikal dan perusahaan sosial dan atau teroka, yang mungkin masih diperingkat idea, permulaan niaga atau peringkat pelaksanaan.

"Khazanah mahu menarik lebih daripada 100 usahawan untuk menyertai program ini, dan pemohon yang berjaya akan menjalani siri empat peringkat penyingkiran," katanya.

Tengku Azmil berkata ia termasuk fasa pemecut selama 13 minggu, dengan mereka yang terpilih akan dibayar RM20,000 sebagai pertukaran dua peratus kepentingan dalam syarikat pemula niaga mereka.

Beliau berkata kepentingan itu akan dipegang oleh rakan pemecut sebagai usaha untuk menggalakkan mereka mendidik lebih banyak usahawan.

Beliau berkata hanya sembilan hingga 12 pasukan akan meneruskan fasa terakhir yang dikenali sebagai Hari Demo, yang dijangka diadakan pada Mei 2018.

Peserta peringkat akhir perlu mengemukakan model perniagaan mereka di hadapan barisan hakim dan tiga peserta akhir masing-masing akan menerima RM30,000, katanya.

"Semua peserta akhir akan mengadakan sesi rantaian, di mana syarikat, pelabur, mentor dan komuniti akan mengkaji semula kemajuan yang telah dibuat oleh pasukan dan meraikan kerja keras mereka," kata Tengku Azmil - BERNAMA

Berita Harian X