Isnin, 2 Oktober 2017 | 9:03am
TAPAK seluas 98 hektar bagi projek LSS milik TNB Sepang di Mukim Tanjung 12, Kuala Langat. Loji solar terbesar Malaysia ini dijangka mula beroperasi Julai 2018.
TAPAK seluas 98 hektar bagi projek LSS milik TNB Sepang di Mukim Tanjung 12, Kuala Langat. Loji solar terbesar Malaysia ini dijangka mula beroperasi Julai 2018.

RE, antara fokus baharu sumber elektrik TNB

KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Bhd (TNB), syarikat utiliti nasional berada di landasan selesa untuk menjadi peneraju sektor tenaga boleh diperbaharui (RE) serantau terutama di ASEAN menerusi pelbagai projek yang dilaksanakan.

Menokok kepada senarai komitmen TNB dalam RE adalah pembangunan Projek Solar Berskala Besar (LSS) di Kuala Langat, Selangor. Menerusi projek itu di Mukim Tanjung 12 yang dilancarkan baru-baru ini, keupayaan penjanaan elektrik daripada sumber RE TNB akan meningkat kepada 73.2MW daripada 23.2MW sekarang.

LSS bernilai hampir RM350 juta yang dibangunkan di tapak 98 hektar oleh anak syarikat milik penuh TNB iaitu TNB Sepang Sdn Bhd, dijangka beroperasi pada November 2018. TNB Sepang sudah memeterai Perjanjian Pembelian Tenaga Solar (SPPA) dengan TNB pada Mac lalu untuk tempoh 21 tahun.

Seperti yang dikatakan Ketua Penganalisa MIDF Research, Mohd Redza Abdul Rahman, LSS di Mukim 12 yang dimenangi TNB menerusi proses bidaan kompetitif, akan memainkan peranan penting untuk mencapai sasaran negara mempunyai lebih 2,000MW penjanaan tenaga daripada sumber RE menjelang 2020 daripada antara 300-350MW sekarang.

Katanya, RE seperti ini akan dapat mengurangkan pergantungan penghasilan tenaga daripada arang batu yang harganya bergantung kepada harga pasaran dunia dan juga perubahan nilai mata wang ringgit.

Projek tenaga solar terbesar Malaysia itu akan membantu syarikat itu mengembangkan lagi kepakaran membangunkan projek-projek RE di Malaysia dan di luar negara terutama ASEAN, Asia Selatan dan India. Malah usaha ke arah itu sudahpun bermula.

"Pengurusan TNB sudah pun merangka strategi untuk menjadi peneraju utama RE di ASEAN. Usaha ke arah itu sudah pun dibuat antaranya menerusi pelaburan dalam projek-projek solar, biojisim (biomass), biogas dan mini hidro," kata Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Ir Azman Mohd pada pelancaran LSS itu baru-baru ini.

Setakat ini, TNB sudah mengadakan usaha sama (JV) dengan FELDA untuk sebuah stesen janakuasa biojisim di Jengka, Pahang berkapasiti 12MW. Usaha sama dengan Sime Darby pula membabitkan dua stesen janakuasa biogas yang menjana elektrik menggunakan bahan buangan sawit. Kedua-dua stesen biogas ini, masing-masing dengan kapasiti terpasang 1.6MW, terletak di Layang-Layang, Johor dan Bagan Datuk, Perak.

TNB juga turut mempunyai usaha sama dengan Worldwide Holdings untuk dua stesen janakuasa biogas berkapasiti keseluruhan 3MW di Puchong dan Jeram, Selangor yang menjana elektrik menggunakan bahan buangan dari tapak pelupusan sampah.

Selain mengukuhkan tapak dalam bidang RE di Malaysia, TNB juga sudah mengorak langkah untuk mengambil alih aset - aset di luar negara yang mempunyai komponen RE. Sejak dua tahun kebelakangan ini TNB sudah berjaya mengambil alih beberapa kepentingan utama portfolio aset solar, angin dan hidro di luar negara seperti di Britain, India dan Turki.

Ini menjadikan pegangan keseluruhan TNB di dalam industri RE di luar negara hampir 600MW.

Dalam negara, pemilihan TNB melaksanakan LSS di Mukim 12 sebahagian besarnya disandarkan kepada resume yang kukuh. Selain penyertaan dan pengambilalihan projek di luar negara, kepakaran TNB dalam segmen RE sebelum ini sudah dizahirkan menerusi beberapa projek perintis baharu RE seperti projek ladang solar terapung dan menukarkan sisa kepada tenaga hasil kerjasama dengan syarikat air dan rawat.

"Pengetahuan yang ditimba daripada projek perintis berkenaan bukan sahaja berguna untuk projek RE kami nanti, bahkan ia juga akan membantu menambah baik kecekapan dan keupayaan pemain RE tempatan," Azman dipetik sebagai berkata dalam laporan tahunan 2016 syarikat itu.

Penyertaan dalam 5,777 projek grid solar komuniti dan mini hidro di Semenanjung umpamanya menjadi antara resume terbaik TNB dalam bidang RE. TNB juga terbabit dalam Projek Komuniti Lestari bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat. Menerusi projek itu, TNB menyediakan solar panel di rumah kebajikan terpilih.

Selain menggalakkan penggunaan RE, projek itu juga membolehkan rumah kebajikan berkenaan meraih dana dengan menjual semula tenaga kepada TNB.

Pembabitan dalam RE adalah sebahagian daripada Rancangan 10-Tahun TNB untuk memberi lebih tumpuan terhadap penyelesaian tenaga boleh diperbaharui termasuk membina grid pintar.

Sektor RE akan turut menjadi pemangkin TNB menjadi antara firma utiliti terbesar dunia daripada aspek permodalan pasaran menjelang 2025. Untuk itu TNB sudah menyasarkan 20 peratus atau RM20 bilion pendapatan menjelang 2025 diraih daripada pelaburan luar negara.

Sehubungan itu, daripada aspek strategik, dengan menyandarkan kepada pengalaman dalam bidang RE, TNB sudah ada apa yang diperlukan untuk mengeksport kepakarannya dalam bidang sumber tenaga boleh diperbaharui sejajar usahanya mencari pertumbuhan baharu di luar negara.

Berita Harian X