Rabu, 27 September 2017 | 4:02pm
DATUK Seri FD Iskandar (empat dari kiri), Tan Sri Mohamed Mansor Fateh Din (tiga dari kanan) melihat buku laporan tahunan selepas Mesyuarat Agung Tahunan ke-33 di Bukit Kiara Equestrian and Country Resort. - Foto Sairien Nafis
DATUK Seri FD Iskandar (empat dari kiri), Tan Sri Mohamed Mansor Fateh Din (tiga dari kanan) melihat buku laporan tahunan selepas Mesyuarat Agung Tahunan ke-33 di Bukit Kiara Equestrian and Country Resort. - Foto Sairien Nafis

Glomac bakal lancar projek pembangunan RM810j

KUALA LUMPUR: Kumpulan Glomac Bhd akan melancarkan beberapa lagi siri projek pembangunan hartanah baharu bermula November ini dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM810 juta.

Ketua Eksekutif, Datuk Seri FD Iskandar, berkata pelancaran membabitkan hartanah dalam segmen rumah teres dan mampu milik itu akan dilancarkan secara berperingkat sepanjang tahun kewangan 2018.

Katanya, antara projek yang terbabit adalah Lakeside Residences dengan GDV RM90 juta; Saujana KLIA (RM300 juta); Saujana Perdana (RM282 juta); Saujana Utama 5 (RM24 juta); Saujana Rawang (RM48 juta) serta Saujana Jaya dengan GDV RM66 juta.

"Semua projek berkenaan dijangka dilancarkan bermula pada suku kedua hingga suku keempat tahun kewangan 2018. Sebanyak 62 peratus daripada projek yang dinyatakan membabitkan rumah teres manakala 25 peratus adalah kediaman bertingkat.

DATUK Seri FD Iskandar. - Foto Sairien Nafis
DATUK Seri FD Iskandar. - Foto Sairien Nafis

"Selain itu, kami juga kembali melancarkan projek komersial yang menyumbang 13 peratus daripada pelancaran baharu yang dirancang itu," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-33 di sini, hari ini.

Hadir sama pada majlis berkenaan adalah Pengerusi Eksekutif Kumpulan, Tan Sri FD Mansor, Timbalan Pengerusi Eksekutif, Datuk Richard Fong dan pengarah syarikat, Datuk Ali Abdul Kadir.

Bagi tahun kewangan berakhir 30 April lalu, Kumpulan mencatat prestasi kukuh apabila meraih keuntungan sebelum cukai tertinggi iaitu RM168 juta berbanding RM122.4 juta yang dicapai dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Penyata imbangan Kumpulan juga semakin kukuh dengan tunai dan kesetaraan tunai meningkat kepada RM307.5 juta daripada RM263.8 juta tahun sebelumnya, membawa nisbah hutang bersih Glomac ke paras yang lebih berpatutan pada 0.2x menjelang akhir tahun kewangan 2017.

Sementara itu, FD Iskandar berkata, pihaknya sentiasa mencari peluang untuk menambah jumlah simpanan tanah yang dimilikinya.

"Kami memberi keutamaan kepada lokasi yang kami sudah teroka dan antaranya termasuklah di kawasan 'Greater KL', Selangor dan juga Johor.

"Dalam tempoh enam bulan pertama ini, kami menyaksikan aliran yang positif dalam pasaran menerusi jumlah pelancaran baharu serta jualan yang lebih tinggi berbanding tahun lalu.

"Oleh itu, penting untuk kami turut sama melancarkan produk yang baik dan yang boleh mendatangkan keuntungan," katanya.

Berita Harian X