Selasa, 26 September 2017 | 11:06am
WEIDNER (kanan) bersama Behrend pada pelancaran Hap Seng Star Iskandar Autohaus di Iskandar Puteri, Johor.
WEIDNER (kanan) bersama Behrend pada pelancaran Hap Seng Star Iskandar Autohaus di Iskandar Puteri, Johor.

MBM, HSS lancar Autohaus di Johor

JOHOR BAHRU: Mercedes-Benz Malaysia Sdn Bhd (MBM) dan Hap Seng Star (HSS) mengukuhkan komitmen kerjasamanya dengan melancarkan Autohaus yang pertama di Johor.

Dengan pelaburan bernilai RM5 juta, Mercedes-Benz Hap Seng Star Iskandar Autohaus (HSS Iskandar) mencerminkan komitmen pelaburan berterusan HSS mengembangkan pusat pelanggan di seluruh negara, terutama di Iskandar Malaysia yang menjadi koridor pembangunan ekonomi selatan.

Presiden dan Ketua Eksekutif Mercedes-Benz Malaysia, Dr Claus Weidner, berkata HSS Iskandar adalah bukti kepada kerjasama berterusan MBM dan HSS bagi memberikan pengalaman terbaik kepada pelanggan di seluruh negara.

"Sebagai pengedar jenama automotif premium, kami berpegang teguh kepada matlamat teras syarikat 'Best or Nothing'

untuk memberikan perkhidmatan terbaik dan paling penting adalah perkhidmatan lepas jualan kepada pelanggan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Autohaus yang juga pusat 3S berkenaan terletak di Taman Nusa Bestari, dekat sini mampu mempamerkan tujuh bilik pameran kenderaan dan memiliki 18 kakitangan yang bertugas di bahagian jualan dan selepas jualan.

HSS Iskandar memiliki lapan ruang kerja yang berupaya menyelenggara 528 kenderaan sebulan, sejajar dengan peningkatan keperluan servis pelanggan di kawasan berkenaan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Hap Seng Consolidated Bhd yang juga Ketua Eksekutif HSS, Harald Behrend berkata, syarikat kini melabur lebih RM248 juta bagi pembukaan sembilan Autohaus di seluruh negara dengan yang terbaharu di Iskandar Malaysia.

"Pendekatan HSS untuk kecemerlangan adalah sebahagian daripada komitmen kami dalam menyediakan pengalaman mewah eksklusif kepada pelanggan selaras dengan jenama Mercedes-Benz."

HSS Iskandar katanya mengutamakan kemudahan dan fleksibiliti kepada pelanggan dengan menawarkan perkhidmatan selepas jualan khusus yang disesuaikan dengan keperluan pelanggan yang berbeza.

"Perkhidmatan ditawarkan termasuk Door-to-Doorservices, untuk mengambil kereta di lokasi pilihan pelanggan, dan Drop & Goservices - untuk pelanggan yang menghantar kereta mereka di luar waktu perniagaan," katanya.

Info: Hap Seng Star Iskandar Autohaus
Autohaus ke-9 Hap Seng
Pelaburan lebih RM5 juta
Miliki 8 ruang kerja
Mampu menyelenggara 528 kenderaan sebulan.

Berita Harian X