Ahad, 27 Ogos 2017 | 5:15pm

Cadangan struktur semula Sime Darby diluluskan

KUALA LUMPUR: Lembaga Pengarah Sime Darby Bhd (Sime Darby) meluluskan terma terakhir cadangan penyusunan semula konglomerat itu untuk mewujudkan tiga entiti perniagaan tunggal di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Bhd.

Cadangan akhir itu diluluskan itu membabitkan sektor perladangan, hartanah serta perdagangan dan logistik.

Cadangan penstrukturan semula itu membabitkan pinjaman kumpulan, pemindahan aset dalam kumpulan dan penyelesaian baki antara syarikat bersama dengan pembahagian saham dan pengagihan saham yang dicadangkan.

Presiden merangkap Ketua Eksekutif Kumpulan Sime Darby, Tan Sri Mohd Bakke Salleh, berkata dengan pelancaran terma terakhir pelan penstrukturan ini membuktikan satu lagi peristiwa penting kepada kumpulan dan ia bakal membawa perniagaan Sime Darby ke tahap yang baharu.

"Kami berada di landasan tepat dan ia sudah mengambil kira serta mempertimbangkan pelbagai aspek untuk kepentingan pemegang saham kami," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, baru-baru ini.

Beliau berkata, selain daripada penstrukturan semula kewangan yang sedang dilaksanakan, kumpulannya juga sedang mempertimbangkan untuk mengadakan lantikan semula di bahagian sumber manusia berdasarkan kepentingan tiga sektor berkenaan.

"Aliran kerja perlu selari dengan strategi pembangunan jangka pendek, sederhana dan panjang untuk tiga sektor berkenaan yang mana ia berupaya merealisasikan potensi dengan sepenuhnya," katanya.

Pelan penstrukturan semula itu katanya, akan memastikan setiap entiti berkenaan mempunyai sumber dan kewangan yang relevan untuk melaksanakan strategi pertumbuhan kumpulan.

Menerusi penstrukturan semula pinjaman, Sime Darby mengadakan program terbitan dalam pelbagai mata wang berjumlah AS$1.5 bilion dan sukuk subordinat berjumlah RM3 bilion bagi Sime Darby Plantation Bhd dengan jumlah prinsipal belum berbayar masing-masing sebanyak AS$172mil (RM740 juta) dan RM2.2 bilion.

Bagi program nota jangka sederhana Islam (IMTN) pula, penebusan awal adalah masing-masing sebanyak RM300 juta dan RM400 juta dengan tempoh matang pada 9 Disember 2022 dan 10 Disember 2027.

Pemindahan aset dalam kumpulan pula membabitkan Sime Darby Property Bhd dan Kumpulan Sime Darby Bhd (KSDB) iaitu anak syarikat Sime Darby yang mana masing-masing memeterai perjanjian jual beli dengan Sime Darby Plantation bagi pembelian tanah di Labu, Seremban.

Berita Harian X