Jumaat, 25 Ogos 2017 | 8:59pm
WAN Zulkiflee pada sidang media sempena pengumuman prestasi kewangan separuh pertama di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Aswadi Alias
WAN Zulkiflee pada sidang media sempena pengumuman prestasi kewangan separuh pertama di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Aswadi Alias

PETRONAS saran firma kecil O&G tempatan bergabung

KUALA LUMPUR: PETRONAS menyarankan syarikat kecil berkaitan minyak dan gas (O&G) tempatan mengkaji langkah penggabungan untuk lebih berdaya saing dan kukuh dalam berdepan ketidaktentuan pasaran global.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin, berkata ketika ini terdapat kebimbangan lambakan peserta kecil O&G, yang dilihat terlalu rapuh untuk berdepan kitaran turun-naik industri itu di peringkat global.

Katanya, aspirasi PETRONAS adalah untuk melihat syarikat tempatan mengambil langkah penggabungan bagi meningkatkan saiz, daya saing dan penerapan teknologi lebih tinggi dalam berdepan ketidaktentuan pasaran global.

"Negara memiliki terlalu banyak peserta O&G kecil meliputi semua segmen. Sebagai contoh kini terdapat lapan limbungan pemasangan kapal di Malaysia, namun saya tidak melihat sebarang potensi kontrak untuk tempoh beberapa tahun akan datang.

"Kami tahu ia akan mengambil masa yang panjang untuk direalisasikan, tapi perlu dilakukan kerana industri O&G akan kembali dalam kitaran turun-naiknya.

"Kita memerlukan peserta yang berdaya saing dan kukuh. Jika (penggabungan) terjadi kelak, ini akan memberi manfaat kepada semua pihak.

"Tidak hanya PETRONAS dan rakan pelaburan bagi kontrak perkongsian pengeluaran (PSC), tetapi juga industri perkhidmatan O&G secara keseluruhan," katanya pada sidang media sempena pengumuman prestasi kewangan separuh pertama di sini, hari ini.

Beliau berkata, PETRONAS kini berkongsi maklumat pelan semasanya termasuk jadual program kerja dan projek untuk tempoh sehingga lima tahun akan datang kepada syarikat yang berdaftar dengannya.

"Susulan itu kami memiliki perancangan dan saya rasa ia sepatutnya dikongsi dengan penyedia perkhidmatan lain supaya mereka juga boleh merancangnya," katanya.

Sementara itu, Wan Zulkiflee berkata, dalam separuh pertama 2017, beberapa keputusan sukar terpaksa diambil bagi mengekalkan kemampanan perniagaan, selain pencapaian baharu untuk menyokong pertumbuhan akan datang.

Katanya, antara keputusan itu termasuk langkah tidak meneruskan pelaburan dalam projek gas asli cecair (LNG) Pacific NorthWest di Kanada yang memberi kesan kos penamatan RM1.5 bilion kepada PETRONAS.

Selain itu, penyerahan dua blok utama di Vietnam susulan penamatan kontrak pengeluaran bersama dan keputusan keluar daripada Cameroon.

"Namun, tempoh ini juga menyaksikan pencapaian baharu termasuk memenangi blok penerokaan baharu di Mexico bersama rakan niaga Ecopetrol, menjadikan jumlah keseluruhan tiga blok di negara itu.

"Bahkan kargo PFLNG Satu juga memulakan penghantaran di India, memulakan pengeluaran pertama bagi projek di lapangan baharu dan lama, prestasi pengeluaran bagi perniagaan hiliran yang kukuh dan kemajuan dalam perniagaan minyak pelincir antarabangsa," katanya.

Berita Harian X