Selasa, 22 Ogos 2017 | 10:20pm

UEM Edgenta untung RM46.53 juta suku kedua

KUALA LUMPUR: UEM Edgenta Bhd mencatatkan keuntungan sebelum cukai RM46.53 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2017, berbanding kerugian sebelum cukai RM16.29 juta tempoh sama tahun lalu.

Pendapatan pada suku dikaji meningkat kepada RM858.91 juta daripada RM697.50 juta.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat itu berkata pendapatan tinggi itu disumbang terutama daripada bahagian perunding yang mencatatkan pendapatan tertinggi setakat tahun ini sebanyak RM45.4 juta.

Peningkatan itu terutama daripada peningkatan dolar New Zealand berbanding ringgit yang membawa kepada terjemahan positif sebanyak RM77.3 juta.

Berhubung prospek masa depan, syarikat itu berkata ia akan menumpukan kepada mengembang dan meningkatkan tawaran perniagaan terasnya secara organik yang merangkumi penjagaan kesihatan, prasarana dan hartanah di pasaran utama iaitu Malaysia, Singapura dan Taiwan.

"Syarikat sedang memulakan pelbagai inisiatif untuk memacu kecekapan operasi seperti pelaksanaan perancangan sumber enterpris bagi mengukuhkan sistem sokongan, penyepaduan proses mengambil alih perniagaan dan pelaksanaan efektif kontrak berasaskan prestasi," kata UEM Edgenta.

Syarikat itu percaya ia berkedudukan baik untuk mencatatkan keputusan positif dan mengekalkan prestasi bagi tempoh berbaki tahun ini. - BERNAMA

Berita Harian X