Selasa, 15 Ogos 2017 | 7:06pm
NOR Azman (dua dari kiri) bertukar plak dengan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Affin Islamic Bank Bhd, Nazlee Khalifah, selepas majlis pemeteraian projek LSS. - Foto ihsan TNB

TNB peroleh pembiayaan RM339j projek solar

KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Bhd (TNB) memperoleh pembiayaan RM339 juta bagi projek Solar Skala Besar (LSS) pertamanya di Malaysia, yang terletak di tapak seluas 97 hektar di Mukim Tanjung 12, Kuala Langat, Selangor.

Syarikat utiliti negara itu, menerusi anak syarikat milik penuhnya, TNB Sepang Solar Sdn Bhd (TSS) bersama dengan Affin Islamic Bank Bhd (Affin Islamic) mencapai peringkat Muktamad Kewangan untuk membiayai projek berkenaan.

Bank itu akan menyediakan pembiayaan dan keperluan modal kerja bagi projek berkenaan hingga RM339 juta.

Naib Presiden (Usaha Niaga Tenaga) TNB, Datuk Nor Azman Mufti, berkata projek itu dianggap sebagai pencetus kepada aspirasi TNB untuk menjuarai sektor tenaga boleh diperbaharui (RE) di Malaysia.

"Beberapa syarikat utiliti di seluruh dunia sedang beralih ke arah RE, maka TNB juga mempunyai aspirasi untuk menjadi pemimpin RE ASEAN menjelang 2025," katanya dalam satu kenyataan.

Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif Affin Bank, Kamarul Ariffin Mohd Jamil, berkata bank itu berbangga bekerjasama dengan TNB dan TSS melaksanakan inisiatif kerajaan dalam projek kelestarian tenaga yang lebih besar.

Perjanjian Pembelian Tenaga Solar (SPPA) bagi projek itu dimeterai antara TNB dan TSS pada awal Mac lalu.

TSS, yang ditubuhkan sebagai syarikat tujuan khas untuk melaksanakan projek berkenaan, dianugerahkan projek terbabit oleh Suruhanjaya Tenaga melalui satu proses bidaan kompetitif.

Di bawah SPPA selama 21 tahun, TSS akan membekalkan tenaga elektrik kepada TNB, melalui grid nasional daripada LSS 50 megawatt (MW) akan memulakan operasi komersial pada November 2018.

Sebaik disiapkan, LSS akan menjadi taman solar terbesar Malaysia.

Berita Harian X