Jumaat, 28 Julai 2017 | 6:40pm

Sime Darby umum barisan pengurusan tertinggi baharu

KUALA LUMPUR: Sime Darby Bhd, hari ini mengumumkan pengerusi dan barisan pengurusan tertinggi baharu di peringkat kumpulan dan dua anak syarikatnya, Sime Darby Property Bhd dan Sime Darby Plantation Bhd.

Timbalan Pengerusi Sime Darby, Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah dilantik sebagai Pengerusi kumpulan itu, menggantikan Tan Sri Abdul Ghani Othman.

Abdul Ghani pula dilantik sebagai Pengerusi Sime Darby Plantation, manakala Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Bhd (PNB), Tan Sri Abdul Wahid Omar, dinamakan sebagai Pengerusi Sime Darby Property.

Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima Bhd, Datuk Seri Amrin Awaluddin, dilantik sebagai Pengarah Urusan Sime Darby Property, manakala Ketua Pegawai Kewangan (CFO) Sime Darby, Datuk Tong Poh Keow, dilantik sebagai Pengarah Eksekutif merangkap CFO Sime Darby Property.

Jeffri Salim Davidson pula dilantik sebagai Presiden merangkap Ketua Eksekutif Kumpulan Sime Darby.

Pengarah Urusan semasa Sime Darby Plantation, Datuk Franki Anthony Dass, akan memainkan peranan baharu sebagai Ketua Penasihat merangkap Pegawai Penilaian syarikat itu, manakala Renaka Ramachandran dilantik sebagai CFO.

Dalam satu kenyataan hari ini, Sime Darby turut mengumumkan Datuk Lawrence Lee Cheow Hock sebagai Pengarah Urusan Sime Darby Motors; Scott William Cameron sebagai Pengarah Urusan Sime Darby Industrial dan Timothy Lee Chi Tim sebagai Pengarah Urusan Sime Darby Logistics.

Menurut kenyataan itu, kumpulan berkenaan akan diterajui oleh individu yang mempunyai kemahiran yang diperlukan dan pengalaman untuk mengurus organisasi yang besar dan kompleks serta dihormati bagi integriti dan kebolehan mereka dalam perniagaan.

Abdul Ghani berkata, kumpulan yakin ketiga-tiga syarikat berkenaan mempunyai kepemimpinan yang sesuai untuk memacu syarikat dalam tempoh mencabar ini.

"Tugas mereka ialah mengembangkan perniagaan dan cabaran mereka adalah mencapainya, selain memberi pulangan konsisten kepada pihak berkepentingan," katanya.

Sime Darby Plantation dan Sime Darby Property akan disenaraikan pada akhir tahun ini.

INFO

Sime Darby Bhd

Pengerusi: Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah

Presiden/Ketua Eksekutif Kumpulan: Jeffri Salim Davidson

Pengarah Urusan Sime Darby Motors: Datuk Lawrence Lee Hock Cheow

Pengarah Urusan Sime Darby Industrial: Scott William Cameron

Pengarah Urusan Sime Darby Logistics: Timothy Lee Chi Tim

Sime Darby Plantation Bhd

Pengerusi: Tan Sri Abdul Ghani Othman

Timbalan Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusan: Tan Sri Mohd Bakke Salleh

Ketua Penasihat dan Pegawai Nilai: Datuk Franki Anthony Dass

Ketua Pegawai Kewangan: Renaka Ramachandran

Sime Darby Property Bhd

Pengerusi: Tan Sri Abdul Wahid Omar

Pengarah Urusan: Datuk Seri Amrin Awaluddin

Pengarah Eksekutif/Ketua Pegawai Kewangan: Datuk Tong Poh Keow

Berita Harian X