Selasa, 25 Julai 2017 | 4:42pm
PENGASAS dan Pengerusi Public Bank, Tan Sri Dr Teh Hong Piow. - Foto Nurul Shafina Jemenon
PENGASAS dan Pengerusi Public Bank, Tan Sri Dr Teh Hong Piow. - Foto Nurul Shafina Jemenon

Public Bank catat untung RM3.37b

KUALA LUMPUR: Kumpulan Public Bank mencatatkan keuntungan sebelum cukai RM3.37 bilion bagi separuh pertama tahun kewangan 2017, meningkat 5.1 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Keuntungan itu dipacu perkembangan berterusan dalam portfolio pinjaman dan deposit, yang menyumbang kepada pertumbuhan 8.3 peratus dalam pendapatan faedah bersih.

Bagi suku dikaji berakhir 30 Jun 2017, keuntungan bersih untuk pemegang saham meningkat 3.8 peratus kepada RM2.58 bilion.

Pengasas dan Pengerusi Public Bank, Tan Sri Dr Teh Hong Piow, berkata kumpulan meneruskan momentum positif bagi mengekalkan pertumbuhan keuntungan.

Katanya, strategi perniagaan kumpulan yang jelas dan fokus serta budaya kredit berhemat, terus mengukuhkan prestasi kewangan yang konsisten di bawah persekitaran operasi yang mencabar.

"Dengan keuntungan yang bertambah baik itu, kumpulan mencatat pulangan ekuiti bersih sebanyak 15.3 peratus.

"Keteguhan kewangan kumpulan juga disumbangkan oleh kualiti aset kukuh dan pengurusan kos yang cekap. Ia seperti ditunjukkan dalam nisbah pinjaman pengurangan nilai kasar sebanyak 0.5 peratus dan nisbah kos kepada pendapatan sebanyak 33.8 peratus pada akhir Jun 2017," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, berikutan prestasi kumpulan yang baik, lembaga pengarah mengisytiharkan dividen interim pertama sebanyak 27 sen membabitkan jumlah pembayaran dividen sebanyak RM1.04 bilion.

"Dividen interim pertama itu akan dibayar pada 17 Ogos 2017 berdasarkan tarikh kelayakan dividen pada 9 Ogos 2017," katanya.

Bagi separuh pertama 2017, jumlah pinjaman kasar Public Bank meningkat pada kadar tahunan 3.1 peratus kepada RM298.5 bilion.

Pinjaman domestik berkembang lebih cepat pada kadar tahunan 4.3 peratus berbanding kadar pertumbuhan tahunan pinjaman industri sebanyak 2.8 peratus.

Dari segi pengambilan deposit, Public Bank mencatatkan pertumbuhan tahunan 4.7 peratus kepada RM317.3 bilion.

Kedudukan pendanaan dan mudah tunai kumpulan kekal baik dengan nisbah pinjaman kepada deposit berada pada 93.6 peratus pada akhir Jun 2017.

Berita Harian X