Rabu, 23 Februari 2022 | 2:23pm
Matrix Concepts Holdings Bhd
Matrix Concepts Holdings Bhd

Matrix Concepts raih jualan hartanah lebih tinggi

KUALA LUMPUR: Matrix Concepts Holdings Bhd kembali ke landasan tepat ke tahap sebelum pandemik apabila mencatatkan jualan hartanah baharu lebih baik kepada RM998 juta untuk tempoh sembilan bulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2022.

Pemaju hartanah itu dalam satu kenyataan berkata, jualan yang dicatatkan dalam tempoh dikaji itu adalah 15.3 peratus lebih tinggi berbanding RM865.3 juta tempoh sama tahun sebelumnya.

"Pencapaian jualan hartanah baharu ini bersamaan dengan 83.2 peratus sasaran setahun penuh kumpulan iaitu RM1.2 bilion.

"Prestasi lebih baik ini dicapai meskipun Matrix Concepts berdepan cabaran ketika memulakan tahun kewangan semasa susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Ia disebabkan permintaan kukuh untuk kediaman hartanah di Sendayan Developments utamanya di Seremban, Negeri Sembilan," katanya.

Pada suku ketiga berakhir 31 Disember 2021, Matrix Concepts meraih jualan hartanah baharu yang baik, meningkat 35.5 peratus kepada RM356.7 juta berbanding RM263.2 juta sebelumnya, sekali gus mengekalkan momentum pertumbuhannya sejak awal tahun kewangan semasa.

Untung bersih Matrix Concepts berada pada RM59.1 juta pada suku ketiga sekali gus meyaksikan kumpulan mengisytiharkan dividen interim ketiga 3.75 sen sesaham.

Pengerusi Matrix Concepts, Datuk Mohamad Haslah Mohamad Amin, berkata walaupun berdepan cabaran besar seperti pemaju hartanah lain, kumpulan berjaya mencatat pertumbuhan dan memberi pulangan menarik kepada pemegang saham.

"Kami melihat tanda-tanda menggalakkan untuk kembali ke paras normal dengan jualan hartanah baharu mencatat pertumbuhan dua angka, sementara pendapatan pula kembali ke tahap sebelum pandemik.

"Menuju ke hadapan, kami berharap untuk memacu prestasi jualan yang lebih baik dan berdasarkan aliran jualan semasa, kami yakin untuk melepasi sasaran jualan setahun penuh RM1.2 bilion.

"Matrix Concepts juga mempercepatkan kerja-kerja pembinaan sejak PKP terakhir ditarik balik, di mana ia akan terus menyokong prestasi kewangan kami untuk tahun kewangan semasa dan akan datang," katanya.

Mohamad Haslah berkata, selaras dengan aliran meningkat yang berterusan dalam permintaan, Matrix Concepts merancang untuk melancarkan hartanah bernilai lebih RM270 juta pada suku keempat tahun kewangan berakhir 31 Mac 2022.

"Ia terdiri daripada projek kediaman di Sendayan Developments, disokong oleh pasaran hartanah yang semakin pulih dan peningkatan ekonomi negara secara beransur-ansur," katanya.

Sementara itu, pendapatan Matrix Concepts pada suku ketiga merosot kepada RM233.1 juta daripada RM315.4 juta setahun lalu disebabkan hasil lebih rendah daripada projek perindustrian dan komersial serta projek pembangunan Lembah Klang, The Chambers.

Walaupun hasil yang lebih rendah, kumpulan mencatatkan margin kasar yang lebih baik sebanyak 58.4 peratus bagi suku dikaji berbanding 47.3 peratus pada tahun sebelumnya, disumbangkan oleh pembangunan yang lebih matang dengan harga jualan yang lebih tinggi seperti siri Tiara Sendayan.

Untung bersih suku dikaji berkurangan 20.1 peratus kepada RM59.1 juta daripada RM74 juta sebelumnya disebabkan oleh hasil yang lebih rendah, penurunan bahagian hasil dalam usaha sama dan perbelanjaan cukai yang lebih tinggi.

Namun begitu, margin untung bersih meningkat kepada 25.3 peratus pada suku ketiga berbanding 21.1 peratus pada tahun sebelumnya, disebabkan oleh gabungan produk yang menggalakkan daripada projek kediaman.

Bagi tempoh sembilan bulan, pendapatan Matrix Concepts merosot 14 peratus kepada RM636 juta daripada RM739.4 juta sebelumnya susulan pelaksanaan PKP dari Julai hingga Ogos 2021 yang menjejaskan kemajuan kerja-kerja pembinaan.

Kumpulan memiliki jualan belum dibil sebanyak RM1.3 bilion pada 31 Disember 2021, untuk direalisasikan sebagai pendapatan dalam tempoh 12 hingga 15 bulan akan datang.

Berita Harian X