Rabu, 22 September 2021 | 8:36pm
Antara projek hartanah dibangunkan oleh Glomac Bhd
Antara projek hartanah dibangunkan oleh Glomac Bhd

Glomac rancang projek baharu RM282 juta

KUALA LUMPUR: Pemaju hartanah, Glomac Bhd merancang untuk melancarkan produk baharu bernilai RM282 juta pada tahun kewangan berakhir 30 April 2022.

Pemaju hartanah itu dalam kenyataan berkata, pelancaran tepat pada masanya memandangkan sebahagian besar daripada produk kediaman kumpulan sudah hampir habis dijual dan sekatan ekonomi kini sudah mula dilonggarkan.

Katanya, pelancaran baharu yang dirancang terutama terdiri daripada fasa kediaman bertanah dalam segmen pasaran pertengahan dan mampu milik yang terus mendapat sambutan kukuh daripada pembelinya.

"Pelancaran baharu turut membabitkan pembangunan pertama Saujana Utama 5 di Sungai Buloh, bandar kediaman baharu kami yang amat dinanti-nantikan, dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM299 juta.

"Kumpulan melancarkan secara rasmi Primrose di Saujana KLIA, Sepang pada awal September 2021. Rumah teres dua tingkat sebanyak 123 unit dengan GDV berjumlah RM65 juta ini mendapat sambutan menggalakkan daripada pembeli sejak pelancarannya.

"Saujana KLIA terletak berhampiran Cyberjaya, Putrajaya dan Lapangan Terbang Antarabangsa KLIA, dan mempunyai NPK yang dianggarkan mencecah RM1.43 bilion. Pelancaran terdahulu terdiri terutama daripada rumah teres dan pejabat kedai berjumlah RM525 juta, yang semuanya telah habis dijual," katanya.

Mengulas lanjut, Glomac berkata ia juga menyerahkan kesemua 103 unit rumah teres 2 tingkat Acadian di Saujana Rawang pada suku pertama.

"Walaupun menghadapi banyak kekangan akibat pandemik sejak awal 2020, penyerahan yang mengikut jadual ini menyusuli kejayaannya yang serupa bagi rumah Tresna Teruntum di Saujana Perdana, Sungai Buloh. Tidak lama lagi bulan pada Oktober, kumpulan juga dijangka menyerahkan rumah kediaman Tresna Teratai tepat pada masanya.

"Glomac berharap untuk memacu momentum jualannya, memberi tumpuan dalam usaha menyempurnakan jualan daripada pembangunan kediaman tinggi sedia ada seperti Plaza@ Kelana Jaya dan 121 Residences, dan juga pelancaran baharu.

"Kumpulan juga menerima pakai norma digital baharu, lantas menambah nilai kepada produknya dengan menyediakan kemudahan sambungan jalur lebar dan susun atur yang sesuai untuk bekerja dari rumah. Glomac juga telah memperkenalkan pemasaran digital untuk menyokong pendekatan konvensional yang mengukuhkan usaha pemasaran kami," katanya.

Glomac mencatatkan pendapatan berjumlah RM28.8 juta dan untung sebelum cukai RM3.8 juta bagi suku pertama tahun kewangan berakhir 30 April 2022.

Berita Harian X