Isnin, 30 November 2020 | 8:13pm
Pemaju hartanah tempatan, LBS Bina Group Bhd
Pemaju hartanah tempatan, LBS Bina Group Bhd

LBS atasi sasaran jualan RM1 bilion

PETALING JAYA: LBS Bina Group Bhd (LBS) merekodkan jualan RM1.1 bilion setakat 29 November lalu, melebihi daripada jangkaan awal RM1 bilion yang ditetapkan.

Pengarah Urusan Kumpulan LBS, Tan Sri Lim Hock San, berkata prestasi jualan dan tempahan yang memberangsangkan membuktikan bahawa syarikat menawarkan produk yang tepat dan memenuhi permintaan pasaran.

"Keadaan ini turut disokong oleh sambutan luar biasa terhadap projek pembangunan kami melalui kempen pemasaran yang berkesan iaitu #DudukRumah Deals Plus.

"LBS memperoleh tempahan berjumlah RM244 juta dan terus berharap agar jumlah tempahan ini menjadi jumlah jualan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Hock San berkata, pengenalan semula Kempen Pemilikan Rumah (HOC) telah membantu lebih ramai rakyat Malaysia untuk memiliki rumah.

"Ditambah pula dengan inisiatif Bank Negara Malaysia (BNM) yang mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada tahap rendah, akan meringankan lagi beban pembeli rumah.

"Kami amat mengalu-alukan inisiatif Belanjawan 2021 sebagai bajet yang inklusif dan berfokus untuk memberi sokongan yang besar terhadap ekonomi," katanya.

Pada 15 November lalu, LBS mencatatkan jualan tidak dibil sebanyak RM2.23 bilion, angka yang akan menyumbang kepada keuntungan syarikat untuk dua ke tiga tahun akan datang.

"Di samping mendukung agenda Kerajaan untuk membangunkan negara, LBS akan terus membina projek berdasarkan tiga tunggak utama kami iaitu mampu dimiliki, kesalinghubungan dan komuniti," katanya.

LBS mempunyai 20 projek yang sedang dibangunkan dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM5.2 bilion.

Sementara itu, LBS mengumumkan keuntungan sembilan bulan berakhir 30 September sebanyak RM802 juta, lebih rendah sedikit berbanding RM1 bilion yang dicatatkan tempoh sama tahun lalu.

Bagaimanapun, bagi tempoh suku ketiga, prestasi kumpulan meningkat dengan ketara berbanding dengan suku kedua sebelumnya disebabkan pemulihan operasi perniagaan dan peningkatan aktiviti pembinaan setelah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan.

Bagi tempoh suku dikaji, LBS mencatatkan pendapatan sebanyak RM336 juta dan untung sebelum cukai RM43 juta.

Berita Harian X