Khamis, 10 September 2020 | 1:29pm
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin melancarkan Digital Skim Rumah Pertamaku (Digital SRP) bersama Pengerusi Cagamas SRP, Datuk Bakarudin Ishak (tiga dari kanan) di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto ihsan Cagamas SRP
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin melancarkan Digital Skim Rumah Pertamaku (Digital SRP) bersama Pengerusi Cagamas SRP, Datuk Bakarudin Ishak (tiga dari kanan) di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto ihsan Cagamas SRP

Digital SRP bantu pembeli rumah mohon pinjaman dalam talian

KUAAL LUMPUR: Cagamas SRP Bhd menjangkakan pinjaman yang diluluskan di bawah Skim Rumah Pertamaku (SRP) mencapai RM12.6 bilion menjelang 2021 menerusi pelancaran Digital Skim Rumah Pertamaku (Digital SRP).

Pengerusi Cagamas SRP, Datuk Bakarudin Ishak, berkata Digital SRP adalah platform bersepadu digital yang membolehkan rakyat Malaysia membeli dan memohon pembiayaan secara dalam talian untuk rumah pertama.

Beliau berkata, Cagamas SRP bekerjasama dengan dua portal teknologi hartanah, Didian dan MHub untuk melancarkan platform bersepadu digital itu yang menghubungkan pembeli rumah, bank, pemaju dan ejen hartanah.

Katanya, Digital SRP menyediakan akses baharu bagi pembeli rumah kepada pemilihan meluas lebih daripada 130,000 hartanah, yang mana lebih 50 peratus layak di bawah SRP di samping bantuan daripada kira-kira 2,000 ejen merentasi lebih 300 agensi di seluruh negara.

"Kami berharap Digital SRP akan merangsang peningkatan lebih 50 peratus dalam pinjaman SRP terkumpul kepada RM12.6 bilion menjelang 2021.

"Cagamas SRP menjangkakan peningkatan pinjaman SRP terkumpul diluluskan sebanyak 14,400 pada 2020 berbanding asas terkumpul 26,213 pada 2019, dengan jumlah pembiayaan RM9 bilion," katanya pada pelancaran Digital SRP di sini, hari ini.

Pelancaran Digital SRP disempurnakan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.

Setakat Jun lalu, SRP yang dilancarkan sejak 2011 telah memanfaatkan kira-kira 33,000 pembeli rumah pertama, yang mana 90 peratus adalah daripada kumpulan berpendapatan rendah.

Kira-kira 71 peratus daripada permohonan diluluskan adalah dari Selangor, Johor, Kuala Lumpur, Perak dan Melaka.

Saiz purata pinjaman adalah RM206,450 dengan 86 peratus pemohon yang diluluskan berumur 25 hingga 40 tahun.

SRP adalah inisiatif kerajaan untuk membantu pembeli rumah pertama yang layak untuk mendapat pembiayaan sehingga 110 peratus daripada bank yang terbabit bagi membolehkan mereka memiliki rumah tanpa perlu membuat bayaran pendahuluan.

Ia terbuka untuk pembeli rumah pertama yang berpendapatan RM5,000 dan ke bawah bagi pemohon tunggal/individu atau RM10,000 ke bawah untuk pemohon bersama.

Mereka layak membeli hartanah sama ada di pasaran utama atau sekunder dengan nilai maksimum RM500,000.

Berita Harian X