Khamis, 10 September 2020 | 12:12pm
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin - Foto fail NSTP
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin - Foto fail NSTP

Cukai pengosongan tidak akan dilaksana tahun depan

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak akan melaksanakan cukai pengosongan atau 'vacancy tax' tahun depan, sebaliknya melihat kepada mekanisme lain bagi menyelesaikan masalah rumah mewah tidak terjual, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.

Beliau berkata, keutamaan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) ketika ini adalah memudahkan pemilikan rumah dalam kalangan rakyat, di samping memastikan golongan B40 serta M40 boleh membeli rumah dengan cara lebih mudah melalui bank.

"Perkara yang dibangkitkan mengenai cukai pengosongan tidak penting. Idea cukai pengosongan (sebelum ini) tercetus apabila memikirkan mengenai rumah mewah dan tidak terjual.

"Hanya terdapat 29,000 unit rumah mewah yang tidak terjual dengan nilai RM29 bilion. Itu tidak menjadi satu kesegeraan untuk kita menyelesaikan masalah itu," katanya pada sidang media sempena pelancaran Digital Skim Rumah Pertamaku (Digital SRP) oleh Cagamas SRP Bhd di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai cadangan pelaksanaan cukai pengosongan tahun depan.

Zuraida sebelum ini dilaporkan berkata beliau tidak menolak kemungkinan cukai pengosongan akan dilaksanakan tahun depan.

Bagaimanapun, kerajaan katanya perlu membuat beberapa penelitian dari segi undang-undang dan cadangan berkenaan masih dalam peringkat perbincangan.

Mengenai pelancaran Digital SRP, Zuraida berkata, platform bersepadu digital itu dilihat mampu meningkatkan jualan rumah di negara ini.

Beliau berkata, menerusi kaedah digital, akses untuk membeli rumah menjadi lebih mudah terutama membabitkan golongan muda kerana permohonan boleh dibuat secara dalam talian.

"Pelancaran ini (Digital SRP) tepat pada masanya. Ia adalah lanjutan konvensional kepada digital, yang lebih mudah dan hanya perlu memohon dalam talian," katanya.

Pelancaran Digital SRP membolehkan rakyat Malaysia membeli dan memohon pembiayaan secara dalam talian untuk rumah pertama.

Cagamas SRP bekerjasama dengan dua portal teknologi hartanah, Didian dan MHub untuk melancarkan platform bersepadu digital itu yang menghubungkan pembeli, bank, pemaju dan ejen hartanah.

Berita Harian X