Rabu, 26 Ogos 2020 | 6:02pm
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif UEM Sunrise, Anwar Syahrin Abdul Ajib.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif UEM Sunrise, Anwar Syahrin Abdul Ajib.

UEM Sunrise jual bidang tanah di Tapah, imbangkan simpanan tanahnya

KUALA LUMPUR: UEM Sunrise Bhd (UEM Sunrise) menjual sebahagian daripada tanah tidak strategiknya di Tapah, Perak yang berkeluasan 252.15 hektar, bernilai RM29.9 juta kepada Lagenda Properties Bhd.

Ia sebagai langkah kumpulan berkenaan mengimbangkan portfolio simpanan tanahnya.

Dalam satu kenyataan, UEM Sunrise memaklumkan penjualan itu dijangka selesai pada Ogos 2021.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Anwar Syahrin Abdul Ajib, berkata penjualan tanah di Tapah itu sama seperti yang dilakukan oleh syarikat itu di Iskandar Puteri di samping cadangan syarikat untuk menggunakan hasil berkenaan bagi membiayai pembelian tanah baharu seiring strateginya untuk mengimbangkan portfolio simpanan tanah.

"Strategi kami untuk mempelbagaikan dan meningkatkan kehadiran kami di Lembah Klang sentiasa menjadi fokus utama. Selama ini, kami telah menjual tanah yang tidak strategik di Iskandar Puteri, memanfaatkan hasil itu untuk membeli tanah baharu di Lembah Klang," katanya.

Syarikat itu masih memegang kira-kira 4694.35 hektar termasuk lebihan tanah pertanian yang berkeluasan 721.15 hektar dengan nilai pembangunan kasar yang dianggarkan mencecah RM107 bilion.

Keseluruhan tanah di Tapah termasuk yang dijual kepada Lagenda Properties menyumbang 20 peratus daripada keseluruhan jumlah simpanan tanah UEM Sunrise.

– Bernama

Berita Harian X