Ahad, 5 Julai 2020 | 5:32pm
Pengarah Urusan Kumpulan LBS, Tan Sri Lim Hock San
Pengarah Urusan Kumpulan LBS, Tan Sri Lim Hock San

Projek LBS di KITA @ Cybersouth laris

KUALA LUMPUR: Blok pertama pangsapuri perkhidmatan, KITA Ria yang dibangunkan oleh LBS Bina Group (LBS) di KITA @ Cybersouth mendapat sambutan hebat apabila habis ditempah sepenuhnya, sekali gus membolehkan pemaju hartanah itu membuka blok kedua untuk jualan.

Pengarah Urusan Kumpulan LBS, Tan Sri Lim Hock San, berkata permintaan yang tinggi membuktikan projek LBS memenuhi permintaan pembeli untuk memiliki rumah mampu milik yang dilengkapi dengan kemudahan sedia ada.

Beliau berkata, KITA Ria di perbandaran KITA @ Cybersouth dibangunkan di tanah rizab Melayu dan dijangka menyumbang nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM268 juta.

"KITA Ria adalah pangsapuri perkhidmatan 22 tingkat dengan jumlah 812 unit kediaman, berkeluasan 602 dan 901 kaki persegi serta harga bermula dari RM250,000 dan RM343,800.

"Pembangunan ini direka untuk memberi ruang praktikal yang selesa, dilengkapi dengan pelbagai kemudahan dan kawasan komuniti bagi memupuk semangat bermasyarakat.

"Kemudahan ini termasuk kolam renang dewasa dan kanak-kanak, gim luaran, gelanggang pelbagai guna serta gelanggang takraw," katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, Hock San berkata, pengenalan semula Kempen Pemilikan Rumah (HOC) 2020 dapat membantu mengurangkan beban pembeli rumah manakala kempen LBS #DudukRumah Deals Plus yang dilancarkan baru-baru ini akan memberi lebih insentif kepada pemilikan rumah.

"LBS membina asas yang kukuh dalam memastikan persekitaran yang kondusif untuk didiami oleh orang ramai.

"KITA Ria adalah kediaman berkualiti dengan harga yang berpatutan dan dilengkapi dengan jaringan hubungan yang baik serta persekitaran yang mampan untuk menggalakkan ikatan kekeluargaan dan kehidupan berkomuniti.

"Dengan sambutan positif daripada pasaran, kami amat gembira kerana dapat merealisasikan impian individu dan keluarga untuk memiliki kediaman di KITA Ria," katanya.

Berita Harian X