Sabtu, 6 Jun 2020 | 10:35pm

UDA Holdings rancang pelbagaikan perniagaan untuk kekal relevan, berdaya saing

PORT DICKSON: Syarikat pembangunan hartanah dan pengurusan aset, UDA Holdings Bhd merancang mempelbagaikan lagi perniagaannya bagi memastikan syarikat itu terus berdaya saing dan relevan pada masa hadapan.

Pengerusinya Datuk Jalaluddin Alias berkata, untuk itu, perniagaan lain yang dirancang akan berpaksikan kepada norma baharu bagi meningkatkan keyakinan masyarakat termasuk peniaga berikutan pandemik COVID-19 yang melanda negara.

"Walaupun perniagaan utama kami ialah hartanah dan industri pembinaan dan industri hospitaliti yang turut terjejas kerana COVID-19, kita telah menjalankan beberapa perubahan dan pendekatan untuk menyesuaikan konsep perniagaan agar terus relevan.

"Kita akan melebarkan sayap perdagangan dengan memberi penekanan kepada makanan dan minuman (F&B) dan pengurusan aset, dan dalam masa yang sama akan memberi penekanan kepada perniagaan yang sesuai dengan normal baharu yang harus diamalkan dan disambut oleh peniaga-peniaga (di bawah premis UDA Holdings Bhd) sekarang," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Terdahulu, Jalaluddin yang dilantik sebagai pengerusi baharu UDA berkuat kuasa 13 Mei lalu, meluangkan masa lebih dua jam untuk melawat operasi Angsana Seremban dan Ancasa Residences Port Dickson, di bawah seliaan UDA Holdings Bhd.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutifnya Mohd Salem Kailany.

Mengulas mengenai pelanjutan pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM1,000 untuk perbelanjaan melancong dalam negara sehingga 31 Dis, 2021 seperti diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam, Jalaluddin berkata, ia dijangka merangsang kembali industri pelancongan negara yang terjejas akibat pandemik itu.

"Kita nak bawa seramai mungkin pelancong domestik ini untuk mengunakan (produk dan perkhidmatan) industri tempatan.

"Saya fikir (insentif) itu akan mendatangkan kesan baik dan mendapat sambutan menggalakkan masyarakat, apatah lagi bagi mereka yang sudah lama tidak melancong dan bercuti bersama keluarga, maka ini adalah peluang terbaik untuk digunakan secara maksimum oleh masyarakat," katanya.

UDA Holding Bhd memiliki empat hotel iaitu di Pekan (Pahang), Kuala Lumpur, Port Dickson (Negeri Sembilan) dan Kuala Terengganu (Terengganu) serta beberapa pusat beli-belah seperti Angsana Seremban, Angsana Kuala Lumpur, Angsana Ipoh Mall dan Angsana Johor Bahru Mall.

Semalam, Muhyiddin ketika membentangkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang disiarkan secara langsung menerusi radio dan televisyen berkata cukai pelancongan akan dikecualikan sepenuhnya mulai Julai ini sehingga 30 Jun tahun depan sebagai antara langkah mengaktifkan semula kegiatan industri pelancongan negara.

Selain itu, turut dinyatakan dalam pembentangan PENJANA ialah pengecualian cukai perkhidmatan ke atas perkhidmatan penginapan yang akan dilanjutkan mulai 1 September ini sehingga 30 Jun tahun hadapan.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Hotel-Hotel (MAH) Negeri Sembilan, Haziz Hassan berkata pihaknya sudah membentangkan cadangan prosedur operasi standard (SOP) kepada Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya bagi membolehkan hotel-hotel di bawahnya untuk beroperasi secara maksimum.

"Ketika ini kami sedang menunggu untuk ia diluluskan. Ketika ini, perniagaan perhotelan amat terjejas dan semenjak PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dilaksanakan, kami mengalami kerugian yang besar. Namun, penangguhan cukai seperti yang diumumkan Perdana Menteri memang membantu," katanya.

Beliau turut berharap kerajaan membenarkan pergerakan antara negeri bagi membantu merancakkan kembali industri pelancongan negara. – BERNAMA

Berita Harian X