Khamis, 28 Mei 2020 | 2:02pm
Gambar hiasan: Pemandangan bandaraya Kuala Lumpur. - Foto AFP
Gambar hiasan: Pemandangan bandaraya Kuala Lumpur. - Foto AFP

COVID-19: Lambakan premis sewa jejas pendapatan pemilik hartanah

KUALA LUMPUR: Pendapatan pemilik premis sewaan dijangka terjejas berikutan peningkatan tinggi jumlah unit untuk disewa kesan penularan COVID-19.

Ketua Pegawai Eksekutif SPEEDHOME, Wong Whei Meng, berkata untuk tempoh sekarang, ia bukannya masa sesuai untuk pemilik kediaman menaikkan kadar sewa.

Selain itu, katanya, beberapa bangunan lama atau kediaman yang tidak lengkap berperabot akan menghadapi tempoh kekosongan yang lebih lama.

"Pendapatan bulanan penyewa mungkin terkesan dan mereka akan lebih sensitif terhadap harga sewa rumah. Saya juga yakin akan terdapat ramai penyewa yang memilih untuk berpindah keluar sekiranya pemilik kediaman ingin menaikkan kadar sewa," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Whei Meng berkata, setiap industri di Malaysia telah terjejas akibat pandemik COVID-19.

Justeru, beliau mencadangkan, majoriti pemilik sewaan kediaman untuk mengurangkan tempoh kekosongan rumah.

"Sekiranya rumah anda disewa dalam tempoh pengecualian faedah bank, pelanggan dengan mudahnya dapat membayar faedah pinjaman bank.

"Oleh itu, kita mestilah menggunakan kaedah objektif untuk menganalisis kemampuan penyewa membayar sewa, dan tidak menilai pihak penyewa berdasarkan etnik dan bangsa. Ini adalah dasar yang terbaik," katanya.

Beliau berkata, sejak krisis wabak COVID-19, terdapat pelbagai perubahan ekonomi di Malaysia termasuk pasaran hartanah serta budaya kerja dari rumah yang telah menjadi pilihan utama sebilangan besar syarikat.

Katanya, penyewa juga telah mula mempunyai corak pemikiran yang sangat berbeza dalam menjalani kehidupan masing-masing pada masa kini.

"Dalam beberapa tahun kebelakangan, hanya syarikat pemula niaga dan syarikat milik warga asing yang melaksanakan dasar kerja dari rumah. Namun selepas penularan wabak, budaya kerja dari rumah telah menjadi normal baharu.

"Saya menjangkakan rumah pinggir bandar seperti di Bangi, Setia Alam, dan Kajang akan menjadi lebih popular dan mungkin disukai lebih ramai pekerja pejabat," katanya.

Berita Harian X