Ahad, 26 April 2020 | 5:18pm
Harga rumah akan turun ke tahap yang lebih berpatutan pasca COVID-19 - Gambar hiasan
Harga rumah akan turun ke tahap yang lebih berpatutan pasca COVID-19 - Gambar hiasan

Pemilik dijangka turunkan harga jualan rumah

KUALA LUMPUR: Pemilik rumah dijangka bakal menurunkan harga jualan ke tahap yang lebih berpatutan pasca COVID-19.

Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan Founder Hartamas Real Estate Group, Eric Lim, berkata sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, jurang di antara harga dikehendaki dan harga tawaran untuk hartanah adalah sedikit meluas.

Namun, katanya dalam situasi semasa ini pemilik hartanah dilihat sanggup untuk menurunkan harga yang mereka kehendaki ke paras yang lebih berpatutan.

"Sehubungan itu, ini adalah peluang terbaik untuk membeli hartanah kediaman kepada mereka yang mempunyai keupayaan kewangan.

"Bagi hartanah kediaman baharu, saya percaya pemaju akan menawarkan pakej menarik termasuk pemberian diskaun tambahan, rebat lebih tinggi, kelengkapan perabot dan sebagainya bagi menarik lebih ramai pembeli," katanya.

Beliau berkata demikian dalam forum yang dianjurkan di Institut Ejen Hartanah Malaysia (MIEA) melalui platform media sosial baru-baru ini.

Forum selama dua jam itu turut disertai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Pengarah Urusan Impetus Alliance, Datuk Seri Michael Yam dan Pengarah Axis REIT Managers Bhd, Stephan Tew.

Ia dikendalikan oleh CEO dan Pengarah Urusan Zerin Properties, Previn Singhe.

Mengulas lanjut, Lim berkata, beliau percaya keadaan ekonomi negara semasa adalah lebih baik berbanding sewaktu krisis kewangan global tahun 2008.

"Bank-bank lebih kukuh dan mempunyai modal mencukupi sekarang. Banyak firma besar dan syarikat awam ke arah pembiayaan kecairan berbanding bergantung kepada pinjaman bank sahaja.

"Banyak pemaju juga yang mengadakan usaha sama dengan pemilik tanah, menjadikannya lebih mudah untuk diuruskan ketika tempoh krisis," katanya.

Sementara itu, Yam berkata, situasi semasa dilihat peluang keemasan buat pemaju untuk menilai semula pasaran dan juga mengembangkan kapasiti mereka.

Katanya, beliau juga berharap kerajaan akan meneruskan kempen pemilikan rumah (HOC) bagi merancakkan pasaran hartanah, yang mana kempen itu bukan saja membantu pemaju tetapi juga pembeli.

"Sebagai tambahan untuk membeli hartanah, kadar faedah bank seharusnya dikekalkan dan kerajaan juga wajar menyemak semula dasar cukai keuntungan harta tanah (RPGT)," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X