X
Khamis, 16 Januari 2020 | 4:42pm
PENGARAH Urusan KSK Land, Joanne Kua (tengah) dan Pengarah Prinsipal RSP Architects Sdn Bhd, Ar Hud Bakar (kanan) menunjukkan projek 8 Conlay di Bukit Bintang. - Foto Rosdan Wahid
PENGARAH Urusan KSK Land, Joanne Kua (tengah) dan Pengarah Prinsipal RSP Architects Sdn Bhd, Ar Hud Bakar (kanan) menunjukkan projek 8 Conlay di Bukit Bintang. - Foto Rosdan Wahid

Kediaman menara 'condong' A 8 Conlay sudah 75 peratus terjual

KUALA LUMPUR: 8 Conlay, projek pembangunan bercampur yang pernah tular di media sosial pada bulan lalu apabila dikatakan ‘mahu tumbang’ di tengah ibu kota, menerima sambutan menggalakkan apabila apartmen servis fasa pertamanya sudah 75 peratus terjual.

Pengarah Urusan KSK Land, Joanne Kua, berkata apartmen servis yang terletak di Menara A projek berkenaan mula dilancarkan pada akhir 2015 dan dijangka siap sepenuhnya pada akhir tahun ini.

Katanya, pembangunan yang terletak di tengah-tengah pusat bandar raya Kuala Lumpur itu rata-ratanya dibeli oleh pembeli asing iaitu seramai 70 peratus dan selebihnya adalah pembeli tempatan.

"Bagi kediaman di Menara B yang dilancarkan pada September 2018, 30 peratus telah terjual setakat ini dan ia dijangka siap dibina pada tahun 2021.

"Bagi Menara C yang akan menempatkan Hotel Kempinski, hotel mewah lima bintang pertama jenama itu dibuka di Malaysia, kami menyasarkannya untuk dibuka pada suku pertama 2022," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas taklimat mengenai projek pembangunan berkenaan di sini, hari ini. Yang turut hadir Pengarah Prinsipal RSP Architects Sdn Bhd, Ar Hud Bakar dan Pengasas Prinsipal dan Pengarah Web Structures Pte Ltd, Dr Hossein Rezai.

Bangunan 8 Conlay pada bulan lalu pernah tular di media sosial kononnya ia akan tumbang susulan struktur binaannya yang kelihatan condong.

Menjelaskan perkara itu, Hud yang bertanggungjawab dalam mereka bentuk bangunan berkenaan menegaskan yang ia tidak akan runtuh seperti didakwa dalam media sosial sebelum ini.

Sebaliknya, katanya reka bentuk bangunan itu sememangnya direka dengan melengkung ke atas dan ia dibina dengan struktur yang kukuh.

"Saya melihat penularan isu ini sebagai perkara positif kerana akhirnya rakyat Malaysia mula membicarakan mengenai seni bina dan berharap mereka akan dapat menghargai reka bentuk yang unik sedemikian di Malaysia," katanya.

Mengenai perancangan projek lain daripada KSK Land, Kua berkata, pihaknya tidak mempunyai rancangan pembangunan lain buat masa ini selain daripada 8 Conlay.

Ini kerana katanya, 8 Conlay adalah sebuah projek mercu tanda syarikat itu membabitkan nilai pembangunan kasar (GDV) RM5.4 bilion menjadikannya projek pembangunan yang besar.

Katanya, pihaknya percaya buat masa ini syarikat perlu memberikan tumpuan sepenuhnya kepada 8 Conlay kerana mahu memastikan ia berjaya dengan standard kualiti terbaik untuk pembeli.

"Selepas ini barulah kami akan fokus kepada projek lain pula. Tumpuan syarikat ialah untuk membangunkan projek di lokasi utama di Lembah Klang dan Pulau Pinang," katanya.

8 Conlay dibangunkan di atas tanah seluas 1.6 hektar dan menawarkan sebanyak 1,062 unit kediaman di Menara A dan B dengan keluasan bermula dari 700 kaki persegi (kps) hingga 1,308 kps dan harga permulaan ialah dari RM2.3 juta seunit.

Berita Harian X