Selasa, 14 Januari 2020 | 3:55pm
Christopher Wong (dua dari kiri) menyampaikan sijil kepada Hock San (dua dari kanan) sambil diperhatikan Amirudin (tengah) pada majlis penganugerahan sijil MBOR kepada LBS, hari ini. - NSTP/Mohd Khairul Helmy Mohd Din
Christopher Wong (dua dari kiri) menyampaikan sijil kepada Hock San (dua dari kanan) sambil diperhatikan Amirudin (tengah) pada majlis penganugerahan sijil MBOR kepada LBS, hari ini. - NSTP/Mohd Khairul Helmy Mohd Din

BSP21 diiktiraf MBOR pangsapuri paling banyak kemudahan

KUALA LANGAT: LBS Bina Group Bhd (LBS) menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBOR) bagi pembangunan kediaman pangsapuri BSP21, yang diiktiraf sebagai 'Kediaman Pangsapuri Mempunyai Kemudahan Terbanyak' di Malaysia, iaitu 103 kemudahan.

Projek itu adalah pembangunan pangsapuri servis yang terdiri daripada 2,602 unit merangkumi 10 blok pangsapuri 18 tingkat dan 27 tingkat.

Ia mempunyai tiga podium yang dihubungkan dengan jambatan langit dan turut menawarkan pemandangan hijau di sekitarnya.

Antara kemudahan yang terdapat di BSP21 ialah gelanggang futsal termasuk untuk kanak-kanak, gelanggang tenis, gelanggang bola keranjang, taman poket, surau, sauna, trek joging, trek berbasikal, jakuzi dan dewan serbaguna.

BSP21 juga menyediakan kemudahan kolam renang berukuran sebesar 19 gelanggang badminton dan kelab rekreasi seluas 66,000 kaki persegi yang merentangi empat aras.

Pengarah Urusan Kumpulan LBS, Tan Sri Lim Hock San, berkata sebagai pemaju rakyat, syarikat sentiasa berusaha membantu membina dan menyediakan rumah sesuai dengan keperluan dan hasrat komuniti.

“Pengiktirafan daripada MBOR ini adalah bukti di atas komitmen dan pencapaian syarikat. Kami mengambil pendekatan segar untuk menyediakan pelbagai kemudahan dan peluang kepada masyarakat untuk mengeratkan hubungn sesama komuniti.

“Dalam masa sama, kami berhasrat untuk meminimumkan keperluan penduduk untuk keluar dari kawasan rumah bagi memenuhi keperluan hidup mereka.

“Dengan ini, kami berharap dapat terus mengekalkan momentum dan usaha untuk mewujudkan ruang komuniti yang lebih baik dalam memenuhi hasrat semua pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penganugerahan sijil MBOR kepada LBS di sini, hari ini.

Sijil berkenaan disampaikan oleh Ketua Pegawai Operasi MBOR, Christopher Wong kepada Hock San sambil disaksikan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Terletak di atas tanah seluas 21 hektar di Bandar Saujana Putra, BSP21 dilancarkan pertama kalinya pada Disember 2014 dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM1.4 bilion.

Berita Harian X