Ahad, 1 Disember 2019 | 6:21pm
Projek pertama UEM Sunrise di Desaru Coast, The Maris
Projek pertama UEM Sunrise di Desaru Coast, The Maris

Fasa pertama The Maris terima sambutan menggalakkan

DESARU: Projek pertama UEM Sunrise Bhd di Desaru Coast, The Maris menerima sambutan memberangsangkan apabila 66 peratus fasa pertama atau 43 unit daripada 66 unit dijual dalam tempoh tidak sampai sebulan dilancarkan.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Anwar Syahrin Abdul Ajib, berkata UEM Sunrise melihat kawasan itu mempunyai potensi tinggi untuk membangun ditambah dengan sokongan kehadiran projek Kompleks Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID), Pengerang.

Katanya, agak mengejutkan apabila ramai pekerja di RAPID memilih untuk membeli kediaman di luar dari kawasan kerja mereka dengan menjadikan The Maris sebagai antara pilihan utama.

“Kebanyakan projek fasa pertama The Maris yang sudah dijual ini dibeli oleh pekerja RAPID. Selain itu, semua unit Bumiputera sebanyak 26 unit habis dijual, yang mana sama sekali tidak jangkakan.

“Kebiasaannya dalam mana-mana pembangunan, antara cabaran dihadapi ialah untuk menjual unit Bumiputera. Namun, berbeza dengan projek kami ini apabila unit ini yang habis terjual dulu.

“Jadi ini menunjukkan terdapat potensi besar untuk projek ini dan memandangkan sekarang kami sudah tahu kehendak pasaran, maka kami akan bertindak balas sewajarnya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sesi lawatan media ke projek pembangunan itu di sini, baru-baru ini.

The Maris, pembangunan gaya resort yang terkini di bahagian selatan Johor adalah projek kediaman bertanah yang akan dibangunkan secara berperingkat selama 10 tahun di kawasan seluas 92.3 hektar.

Untuk peringkat pertama, pemaju itu akan membangunkan 260 unit kediaman kluster termasuk 16 unit semi D berkeluasan dari 30x70 kaki persegi dengan harga bermula dari RM600,000 seunit untuk rumah kluster.

Di antara ciri-ciri unik The Maris ini ialah pemandangan premium padang golf, tarikan taman tema air, pantai berpasir, taman, tasik dan kolam renang.

Dalam pada itu Anwar Syahrin, berkata UEM Sunrise menyasarkan jualan RM1.2 bilion bagi pembangunan hartanahnya untuk 2020, sama seperti sasaran tahun ini.

Selain itu katanya, syarikat juga sedang meninjau peluang untuk menambah jumlah simpanan tanahnya pada tahun depan terutama di Lembah Klang.

“Kita tidak boleh dedahkan lokasi tanah yang mahu dibeli ini, tetapi ia terletak di luar Kuala Lumpur.

“Syarikat pada masa ini mempunyai jumlah simpanan tanah yang tinggi di Johor iaitu sekitar 4,046.7 hektar sehingga orang melihat kita terlalu berpusat di Johor yang mana adalah benar berdasarkan perspektif simpanan tanah yang kita miliki,” katanya.

Mengulas mengenai projek hartanahnya di luar negara, beliau berkata, UEM Sunrise merancang untuk membangunkan 12.14 hektar simpanan tanah di Durban, Afrika Selatan pada tahun 2021.

“Kawasan ini amat strategik dan terletak berhadapan dengan pemandangan laut. Kita sedang berunding dengan syarikat tempatan disana untuk menjadi rakan kita bagi membangunkan hartanah ini,” katanya.

Berita Harian X