Rabu, 6 November 2019 | 5:40pm
MENTERI Besar Selangor, Amirudin Shari (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen antara Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Datuk Mohd Azizi Mohd Zain (kiri) dan Presiden EEC, Datuk Dr Li Wei di Shah Alam, hari ini. - Foto BERNAMA

PKNS, EEC bangun projek eko pelancongan di Bernam Jaya

SHAH ALAM: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan syarikat Eastern Ecotourism City Sdn Bhd (EEC) memeterai perjanjian kerjasama bagi membangunkan tanah di Bernam Jaya, Hulu Selangor dalam tempoh tujuh tahun.

Perjanjian itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Datuk Mohd Azizi Mohd Zain dan Presiden EEC, Datuk Dr Li Wei.

Ia disaksikan oleh Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.

Mohd Azizi berkata, kerjasama strategik berskala besar yang dijangka dimulakan dalam tempoh dua hingga tiga tahun lagi di atas tanah seluas 1,371 hektar dari Laman 2 hingga 7 itu membabitkan anggaran kos RM4 bilion.

Katanya, projek pembangunan berteraskan eko pelancongan itu meliputi komponen seperti konsep bandar bertema, hospitaliti, perubatan dan perniagaan, selain memuatkan taman tema kelas antarabangsa dan 'ski-slope' bertaraf olimpik.

“Kita akan tubuhkan satu syarikat iaitu syarikat tujuan khas (SPV) yang mana PKNS adalah pemegang saham 5 peratus dan syarikat berkenaan yang akan menentukan komponen mana akan dibangunkan terlebih dahulu.

“Sudah pasti kita akan membangunkan komponen yang mampu menarik pelanggan dari seluruh dunia seperti taman tema supaya lebih ramai rakyat datang melancong ke Selangor," katanya kepada pemberita selepas majlis berkenaan di sini, hari ini.

Pada majlis sama, PKNS turut menerima replika cek pembayaran daripada EEC berjumlah RM164 juta sebagai bayaran pertama bagi projek pembangunan itu.

Mohd Azizi berkata, projek pembangunan yang dilaksanakan di Bernam Jaya itu bakal menjadi pemangkin kepada aktiviti ekonomi kawasan sekitar, selain mewujudkan lebih 50,000 peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor di setiap peringkat.

“Bukan itu sahaja, EEC juga membeli 448 unit hartanah PKNS terdiri daripada 154 unit lot kedai manakala bakinya adalah rumah kediaman," katanya.

Beliau turut menyifatkan projek pembangunan itu berada di landasan tepat untuk mencapai sasaran 17 juta pelancong mengunjungi Selangor menjelang tahun 2030 selaras dengan aspirasi kerajaan negeri untuk memperkasa kluster pelancongan khususnya di kawasan Bernam Jaya. - BERNAMA

Berita Harian X