Jumaat, 25 Oktober 2019 | 8:41pm

Sunway Property beli tanah di Wangsa Maju bernilai RM36.97 juta

KUALA LUMPUR: Sunway Property membeli sebidang tanah berstatus pegangan bebas berkeluasan 1.5 hektar di Wangsa Maju, di sini yang akan dibangunkan sebagai projek kondominium dengan nilai pembangunan kasar (GDV) kira-kira RM300 juta.

Pembelian tanah itu dibuat menerusi anak syarikatnya dengan kepentingan 55 peratus, Sunway Avila Sdn Bhd, pada harga RM36.97 juta.

Pengarah Urusan Sunway Property, Serena Cheah, berkata, pihaknya bercadang untuk membangunkan kondominium yang mengandungi 468 unit yang dijangka akan dilancarkan pada separuh kedua tahun 2021.

“Pembangunan yang dicadangkan ini mencerminkan kejayaan Sunway Avila yang terletak hanya 200 meter dari tanah baharu ini dan sudah pun mempunyai perintah pembangunan yang diluluskan.

"Ini adalah pembelian strategik bagi kami kerana projek Sunway Avila amat berjaya, yang menunjukkan terdapat padanan terhadap jurang semasa dalam membekalkan pembangunan berpatutan berhampiran pusat transit yang terletak berdekatan dengan pusat bandar,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Serena berkata, lokasi tapak yang strategik itu akan memudahkan perjalanan dan menawarkan kemudahan yang sesuai dengan gaya hidup bandar semasa.

Katanya, dengan perkembangan baru itu, pihaknya akan memanfaatkan asas pelanggan sedia ada yang telah kami bangunkan di dalam kawasan terbabit.

“Penduduk masa depan juga akan mendapat manfaat daripada laluan pejalan kaki tertutup ke stesen LRT Sri Rampai," katanya.

Menara pertama Sunway Avila, yang dilancarkan pada separuh pertama 2019, telah 80 peratus dibeli dalam tempoh yang singkat yang terdiri daripada 405 unit kediaman servis.

Tanah baharu ini terletak kira-kira 550 meter dari stesen LRT Sri Rampai yang hanya enam hentian atau 12 minit ke KLCC dari LRT.

Ia dikelilingi oleh suasana kehijauan dan juga dikelilingi oleh kemudahan termasuk Wangsa Walk Mall yang terletak sejauh 700 meter dan Setapak Central Mall sejauh 2.7 kilometer.

ends/

Berita Harian X