Rabu, 23 Oktober 2019 | 4:20pm
(DARI kiri) Timbalan Presiden, Agile Property Land Co Ltd, Kayson Yuen; Timbalan Presiden, Agile Property Land Co Ltd, Xian Yao Qiang dan Ketua Pegawai Operasi, Agile Real Estate Development Sdn Bhd Agile Property, Chai Keng Wai.
(DARI kiri) Timbalan Presiden, Agile Property Land Co Ltd, Kayson Yuen; Timbalan Presiden, Agile Property Land Co Ltd, Xian Yao Qiang dan Ketua Pegawai Operasi, Agile Real Estate Development Sdn Bhd Agile Property, Chai Keng Wai.

Agile Embassy Garden kediaman berprestij

KUALA LUMPUR: Berkonsepkan kediaman ala hotel dengan kehijauan yang menenangkan adalah satu daripada pelbagai tarikan yang ditawarkan oleh pemaju hartanah, Agile Property Group kepada mereka yang tercari-cari kediaman idaman mereka.

Lebih menarik lagi, lokasi kediaman yang dikenali sebagai Agile Embassy Garden ini terletak kawasan strategik iaitu di tengah-tengah ibu kota dan tersergam indah dengan pelbagai pemandangan seperti mercu tanda serta memiliki kemudahan sangat selesa.

Ketua Pegawai Operasi, Agile Real Estate Development Sdn Bhd Agile Property, Chai Keng Wai, berkata pemandangan waktu siang dan malam dari Agile Embassy Garden ini menarik kerana ia berhadapan Jalan Ampang dan pemilik kediaman boleh menyaksikan Menara Berkembar Petronas, Menara Kuala Lumpur dan The Exchange 106.

Beliau berkata, Agile Property Group dianggap bertuah kerana dapat membangunkan tanah bernilai di kawasan kedutaan dan tidak mudah untuk mendapatkan hartanah di kawasan bersebelahan Jalan Tun Razak.

"Agile Embassy Garden satu daripada projek pembangunan premium kerana ia terdiri daripada tiga blok setinggi 65 tingkat atau 234 meter dengan nilai pembangunan kasar iaitu RM1.8 juta di atas tanah seluas 3.06 ekar, berstatus pegangan bebas.

"Fasiliti disediakan menepati cita rasa bakal pemilik kediaman kerana terdiri daripada kolam renang di tingkat paling atas, gimnasium, taman permainan kanak-kanak, jakuzi, sistem keselamatan dan banyak lagi.

"Malah, idea konsep kehijauan yang diwujudkan juga terdiri daripada 20 jenis tumbuhan tropika bagi memberikan pengalaman hidup dalam suasana hijau di tengah ibu kota," katanya pada majlis pembukaan Agile Embassy Garden, dekat sini.

Agile Property Group adalah antara 30 pemaju hartanah terbaik di China dan sudah menjalankan dua projek hartanah di negara ini iaitu Agile Mont Kiara pada 2016 dan Agile Bukit Bintang yang dilancarkan pada tahun 2018.

Sementara itu, Timbalan Presiden Agile Property Land, Kayson Yuen berkata, kediaman mewah ini sesuai untuk diduduki sebagai kediaman sendiri atau sebagai pelaburan memandangkan ia dikelilingi oleh segala keperluan dan kehendak yang diinginkan oleh setiap orang.

Katanya, pihaknya menyasarkan pembeli kediaman adalah penduduk tempatan dan ekspatriat kerana ia menawarkan kediaman yang begitu kondusif untuk diduduki.

"Namun begitu, kekosongan ditawarkan adalah terhad. Oleh itu mereka yang berminat dan melakukan pembelian awal akan mendapat pelbagai kelebihan serta tawaran hadiah menarik.

"Kita juga menyasarkan untuk menyiapkan kediaman ini sepenuhnya menjelang tahun 2024 dan berharap pada masa hadapan dapat membina lebih banyak hartanah berprestij di negara ini.

"Jadi ini adalah peluang terbaik kepada anda yang inginkan kediaman sendiri dengan semua kelebihan yang dinyatakan itu," katanya.

Berita Harian X