Isnin, 21 Oktober 2019 | 2:16pm
PRESIDEN Serantau Country Garden Malaysia, Jason Fu pada majlis pelancaran fasa ketiga projek pembangunan Country Garden Central Park.

Fasa ketiga Country Garden Central Park dilancar

JOHOR BAHRU: Pemaju hartanah, Country Garden Group (Country Garden) melancarkan fasa ketiga projek pembangunan Country Garden Central Park merangkumi pembinaan rumah teres dua tingkat yang terletak di Tampoi, dekat sini.

Projek Central Park adalah projek usaha sama antara Country Garden dan Damansara Realty Bhd yang juga syarikat pembangunan tanah dan hartanah berkaitan kerajaan di Johor.

Ia projek ketiga Country Garden di Johor Bahru dan dikelilingi oleh tiga lebuh raya utama dan berhampiran dengan taman majlis perbandaran seluas 6.31 hektar.

Projek baharu ini terletak di atas tapak seluas 5.94 hektar dengan jumlah keseluruhan 216 unit kediaman.

Country Garden dalam kenyataannya berkata, terdapat dua jenis saiz tanah yang ditawarkan iaitu 20 kaki x 70 kaki dan 22 kaki x 70 kaki dengan keseluruhan saiz kaki persegi antara 2,083 hingga 2,330 kaki persegi.

“Projek Central Park ini memberi tumpuan kepada pembinaan rumah impian mampu milik yang dibina mengikut keperluan pemilik rumah di negara ini.

“2019 telah menjadi tahun yang memberangsangkan untuk syarikat, bukan hanya kerana pelancaran fasa baharu rumah teres di Central Park buat pertama kalinya, tetapi juga disebabkan oleh tarikh penyerahan pemilikan bagi Blok A, B dan E bagi fasa satu kondominium premiumnya dijangka bermula hujung tahun ini,” katanya.

Presiden Serantau Country Garden Malaysia, Jason Fu dan Pengerusi Damansara Realty Bhd, Datuk Ahmad Zahri turut hadir pada majlis pelancaran fasa baharu rumah teres di Central Park itu, baru-baru ini.

Country Garden berkata, pihaknya komited dalam merealisasikan konsep perkhidmatannya dan berusaha untuk menyediakan kualiti dan perkhidmatan yang baik kepada setiap pemilik rumah supaya mereka dapat menikmati gaya hidup yang sempurna.

Berita Harian X