Jumaat, 18 Oktober 2019 | 6:36pm
MENTERI Pengangkutan, Anthony Loke Siew Foo (dua dari kiri) melawat pameran di ruang pameran selepas Majlis Perasmian Pameran Hartanah Malaysia (MAPEX) 2019, di Mid Valley. - Foto NSTP/Muhd Zaaba Zakeria

Harga rumah lebih murah tanpa tempat letak kereta

KUALA LUMPUR: Pembinaan unit kondominium dan apartmen baharu tanpa lot tempat letak kereta akan membantu mengurangkan harga rumah, demikian menurut cadangan Kementerian Pengangkutan.

Cadangan berkenaan dikemukakan sebagai usaha kementerian itu membantu mengurangkan harga hartanah sekali gus meringankan beban pembeli serta menggalakkan penggunaan pengangkutan awam.

Menterinya, Anthony Loke, berkata kos pembinaan tempat letak kereta adalah termasuk dalam kos pembinaan yang perlu ditanggung pemaju dan akan mempengaruhi harga rumah yang dijual.

“Jika pemaju diberi kelonggaran syarat untuk tidak menyediakan tempat letak kereta, ia akan menjadikan harga rumah menjadi lebih rendah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pelancaran Kempen Pemilikan Rumah - Ekspo Hartanah Malaysia 2019 (HOC-MAPEX 2019), di sini, hari ini.

Hadir sama ialah Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA), Datuk Ir Soam Heng Choon.

Loke berkata, cadangan itu boleh dilaksanakan di kawasan pembangunan berorientasikan transit (TOD), yang berdekatan dengan stesen pengangkutan awam seperti MRT dan LRT.

“Contohnya, apartmen yang didirikan berdekatan dengan stesen MRT atau LRT, akan memberi pilihan kepada pembeli sama ada memerlukan tempat letak kereta atau tidak kerana mereka boleh menggunakan pengangkutan awam.

“Meskipun syarat berkenaan (menyediakan tempat letak kereta) bukan di bawah bidang kuasa saya, sebaliknya Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), namun ia boleh dipertimbangkan.

“Ini kerana, saya melihat cadangan itu adalah serampang dua mata kerana boleh mengurangkan harga rumah dan pada masa sama menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam," katanya.

Loke berkata, jika cadangan ini boleh dilaksanakan, ia akan menjadi sebagai percubaan untuk mencari pendekatan mengurangkan kos hidup rakyat.

“Bagi saya cadangan ini adalah fleksibiliti bukan saja kepada pemaju tetapi juga pembeli,” katanya.

Sementara itu, Heng Choon berkata, kos untuk membina unit tempat letak kereta adalah tinggi dan cadangan itu adalah satu inisiatif yang baik.

“Sebagai contoh, kos untuk bina tempat letak kereta di Kuala Lumpur sekarang ini adalah RM50,000. Pada masa ini, kebanyakan apartmen yang dibina menawarkan dua lot tempat letak kereta.

“Jadi, jika unit itu (tempat letak kereta) tidak disediakan, kos pembinaan hartanah akan lebih murah dan akan menurunkan harga rumah.

“Bagaimanapun, ia bukan satu cadangan mandatori tetapi sebaliknya ditawarkan sebagai pilihan. Ia bukan sebagai syarat kepada pemaju untuk tidak menawarkan kemudahan tempat letak kereta bagi pembangunan yang dijalankan tetapi hanya mengurangkan jumlahnya,” katanya.

Berita Harian X